Jumaat, 10 Januari 2020 | 12:53pm
- Gambar hiasan

Himpunan protes di Hong Kong lonjakkan kemurungan, PTSD: kajian

HONG KONG: Hampir satu daripada tiga orang dewasa di Hong Kong dilaporkan mengalami gejala gangguan tekanan pasca trauma (PTSD) akibat keganasan sosial selama berbulan-bulan di bandaraya itu, menurut kajian yang diterbitkan dalam jurnal perubatan The Lancet, hari ini.

Kajian selama sedekad diketuai penyelidik dari Universiti Hong Kong itu juga mendapati satu dalam 10 orang di bandaraya itu mempunyai kemungkinan simptom kemurungan, angka yang setanding dengan yang dilihat di kawasan konflik bersenjata atau akibat serangan pengganas.

Gejala PTSD yang berlaku adalah enam kali lebih tinggi berbanding protes pro-demokrasi yang berlaku pada tahun 2014, meningkat daripada kira-kira lima peratus pada bulan Mac 2015 kepada hampir 32 peratus pada September-November 2019.

  

Peningkatan itu sepadan dengan tambahan 1.9 juta orang dewasa dengan gejala PTSD di bandaraya dengan penduduk seramai 7.4 juta itu.

Sehingga 11 peratus orang dewasa kini dilaporkan mengalami gejala kemurungan, dari kira-kira dua peratus sebelum protes berlaku, dan 6.5 peratus pada 2017, menurut kajian itu.

"Satu daripada lima orang dewasa kini dilaporkan mengalami kemungkinan kemurungan atau disyaki mengalami PTSD, yang boleh disamakan dengan mereka yang mengalami konflik bersenjata, bencana besar-besaran, atau serangan pengganas," kata kajian itu.

  

Penyelidik juga mendapati penggunaan media sosial berlebihan untuk mengikuti peristiwa sosio-politik yang berlaku boleh meningkatkan risiko kemungkinan kemurungan dan PTSD. - AFP

Berita Harian X