Rabu, 15 Januari 2020 | 10:22am
Gambar fail bekas pengerusi Nissan, Carlos Ghosn pada sidang akhbar di Beirut, Lebenon, 8 Januari lalu. - Foto REUTERS

Bekas pengerusi Nissan dakwa ada plot dalaman terhadapnya

BEIRUT: Bekas pengerusi Nissan, Carlos Ghosn dalam satu pertemuan dengan media di sini semalam berkata, beliau telah diberi amaran oleh duta Perancis sejurus ditahan pihak berkuasa Jepun sebelum ini, bahawa syarikat pimpinannya itu merancang untuk menjatuhkan dirinya.

“Sejujurnya saya terkejut dengan penahanan ini dan perkara pertama diminta adalah memastikan Nissan diberitahu supaya mereka boleh menghantar peguam untuk saya.

“Dan pada hari kedua iaitu 24 jam selepas ditahan, saya menerima kunjungan Duta Perancis yang memberitahu, Nissan mengkhianati anda dan pada ketika inilah saya menyedari bahawa keseluruhan kejadian adalah satu plot,” katanya.

Beliau mula bertemu media selepas kisahnya melarikan diri daripada pihak berkuasa Jepun mendapat perhatian dunia.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Nissan, Hiroto Saikawa yang dipaksa meletakkan jawatan tahun lalu mengaku menerima pampasan dalam jumlah tidak sepatutnya dan dalam sidang media mendakwa, Ghosn menggunakan wang korporat untuk kepentingan peribadi serta membuat pengisytiharan pendapatan kurang dari nilai sebenar setiap tahun.

Penahanan Ghosn, tokoh korporat yang dihormati ramai kerana menyelamatkan Nissan daripada muflis, meletakkan sistem perundangan jenayah Jepun di bawah perhatian antarabangsa.

Antara amalan yang menjadi perhatian ramai adalah menahan suspek di pusat tahanan untuk jangka masa lama dan tidak membabitkan peguam bela ketika soal siasat, lazimnya mencecah lapan jam sehari.

“Apabila saya diberitahu mengenai perkara itu dua atau tiga jam kemudian, Saikawa mengadakan sidang media itu, ..apabila beliau memberitahu ada membuat kenyataan seumpama itu, saya berkata Ya Tuhan, ia adalah satu plot,” katanya.

Ghosn, 65, meninggalkan Jepun bulan lalu ketika menanti waktu untuk dibicarakan kerana didakwa membuat pengisytiharan pendapatan palsu dan salah guna dana syarikat.

Lelaki yang satu ketika dahulu dianggap wira industri kereta berkata, pilihan lain adalah berada di Jepun tanpa berpeluang menerima keadilan. - Reuters

Berita Harian X