Sabtu, 18 Januari 2020 | 6:10pm
Presiden China, Xi Jinping (kiri) bersalaman Aung San Suu Kyi sebelum mesyuarat di Istana Presiden di Naypyidaw, hari ini. - Foto AFP

Myanmar, China meterai perjanjian pacu BRI

NAYPYITAW: Myanmar dan China memeterai 33 perjanjian bagi mempercepatkan pelbagai projek utama yang menjadi sebahagian daripada Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), selari usaha merintis jalan perdagangan baharu.

Kedua-dua negara antara lain mencapai sepakat untuk menyegerakan pelaksanaan Koridor Ekonomi Myanmar China, iaitu pembinaan infrastruktur ‘gergasi’ membabitkan peruntukan berbilion dolar Amerika Syarikat (AS).

Perjanjian turut dimeterai merangkumi projek jajaran rel menghubungkan barat daya China dan Lautan Hindi, pelabuhan laut dalam di wilayah bergolak, Rakhine, penubuhan zon ekonomi khas di sempadan dan projek pembangunan kota baharu di zon komersial Yangon.

Bagaimanapun, perjanjian terbabit tidak merungkai sebarang isu berkaitan peruntukan kontroversi, menjangkau nilai AS$3.6 bilion (RM14.6 bilion) yang disediakan Beijing bagi membina empangan besar yang sebelum ini dilaporkan kerja pembinaannya terbengkalai sejak 2011.

Penganalisis dari Kumpulan Krisis Antarabangsa berpangkalan di Yangon, Richard Horsey, berkata tindakan Beijing memeterai pelbagai jenis perjanjian tidak memberi sebarang gambaran luar biasa, sebaliknya ia mencerminkan pendekatan berhati-hati yang diambil oleh Myanmar.

“Pandangan keseluruhan menyaksikan Myanmar ketika ini berhati-hati dengan pelaburan dari China, khususnya menjelang musim pilihan raya yang bakal diadakan tahun ini.

“China pula meletakkan harapan bahawa ini adalah pemangkin ke arah merealisasikan pembinaan kemudahan mega, selain berhasrat supaya kemajuan projek selanjutnya berupaya dicapai dalam beberapa bulan akan datang,” katanya. - REUTERS

Berita Harian X