Isnin, 10 Februari 2020 | 1:47pm
Penulis filem Korea Selatan, Parasite iaitu Han Jin-won (kiri) dan Joon-ho bergambar bersama trofi Oscar yang dimenangi selepas filem berkenaan meraih kejayaan pada Anugerah Akademi Ke-92 di Los Angeles, hari ini. Foto AFP
Penulis filem Korea Selatan, Parasite iaitu Han Jin-won (kiri) dan Joon-ho bergambar bersama trofi Oscar yang dimenangi selepas filem berkenaan meraih kejayaan pada Anugerah Akademi Ke-92 di Los Angeles, hari ini. Foto AFP

Filem Korea Selatan, Parasite menang Filem Terbaik Anugerah Akademi Ke-92

LOS ANGELES: Mencipta rekod baharu dalam sejarah penganjuran Anugerah Akademi, filem Korea Selatan, Parasite meraih empat trofi termasuk Filem Terbaik dan Pengarah Terbaik pada edisi ke-92 acara anugerah perfileman berprestij itu di Dolby Theatre di sini, hari ini.

Karya arahan Bong Joon-ho itu muncul filem bahasa asing pertama memenangi kategori Filem Terbaik, selain mengungguli dua kategori lain Filem Antarabangsa Terbaik dan Lakon Layar Terbaik.

Filem thriller Parasite adalah naskhah pertama dari Korea Selatan yang dicalonkan pada Anugerah Akademi.

Penerbit Parasite, Kwak Sin-ae terkejut besar apatah lagi diberi penghormatan apabila penonton berdiri sebaik karya berkenaan diumumkan Filem Terbaik, lapor agensi.

“Saya terkedu... Kami tidak pernah mengimpikan ini akan terjadi. Kami sangat gembira. Saya sangat bertuah dapat berada di dalam agenda bersejarah ini.

“Saya berterima kasih dan menghormati semua juri yang membuat keputusan ini,” katanya ketika menerima trofi kemenangan.

Parasite menewaskan filem Joker; Ford v Ferrari; Marriage Story; Jojo Rabbit; The Irishman; Little Women; 1917 dan Once Upon a Time.. In Hollywood.

Sementara itu, menepati ramalan, Joaquin Phoenix diumum Pelakon Lelaki Terbaik melalui filem Joker. Phoenix menghampakan pesaingnya, Antonio Banderas, Leonardo DiCaprio, Adam Driver dan Jonathan Pryce.

Filem arahan Todd Phillips itu turut membawa pulang trofi kategori Skor Asal Terbaik.

Bintang filem Judy, Renee Zellweger menepati ramalan apabila menewaskan Cynthia Erivo, Scarlett Johansson, Saoirse Ronan dan Charlize Theron dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik.

Ini adalah kemenangan kedua Renee di pentas Oscar, selepas memenangi kategori Pelakon Pembantu Terbaik menerusi filem Cold Mountain.

Berita Harian X