Isnin, 10 Februari 2020 | 3:59pm
Johan menjelaskan produksi AJL34 tahu konsep persembahan Aina tetapi tidak menyangka cecair yang dikatakan ‘darah’ digunakan terlalu banyak hingga menimbulkan kontroversi. Foto NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman
Johan menjelaskan produksi AJL34 tahu konsep persembahan Aina tetapi tidak menyangka cecair yang dikatakan ‘darah’ digunakan terlalu banyak hingga menimbulkan kontroversi. Foto NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Isu Aina Abdul, TV3 semak dengan CMCF

KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN), Johan Ishak menjelaskan, pihaknya maklum mengenai gimik ‘darah’ dalam persembahan Aina pada Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-34, tetapi tidak menyangka kuantiti cecair digunakan terlalu banyak sehingga mengundang kontroversi.

Johan berkata, pihaknya akan membuat semakan kod kandungan daripada Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) untuk memastikan sama ada persembahan itu bercanggah dengan penyiaran stesen televisyen (TV) sebelum mengambil tindakan.

“Sebelum menuding jari menyalahkan mana-mana pihak, kami fikir penyelesaian terbaik adalah menyemak dengan CMCF terlebih dahulu apakah persembahan Aina bercanggah dengan kod kandungan penyiaran atau tidak.

“Pihak produksi maklum mengenai konsep persembahan Aina yang menggunakan ‘darah’ untuk memaparkan simbolik hati terluka. Tetapi tidak menyangka ia digunakan dengan keterlaluan,” katanya pada sidang media selepas AJL34 di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini, malam tadi.

Pada pentas AJL34 malam tadi, aksi Aina ketika mendendangkan lagu ciptaannya, Sumpah, mencetuskan kontroversi apabila dikecam Persatuan Peduli Mental Malaysia (MIASA) yang mendakwa gimik itu keterlaluan apabila memaparkan konsep bunuh diri.

Mengikut kenyataan dikongsi di Facebook (FB), Public Health Malaysia, persembahan Aina melanggar garis panduan laporan media yang melarang sebarang bentuk adegan membunuh diri dengan menunjukkan cara dan kaedah menamatkan hayat.

Persembahan Aina juga dianggap memberikan mesej salah kepada penonton mengenai kekesalan dan kekecewaan dalam percintaan, sehingga perlu menamatkan riwayat dengan menikam dada.

Johan berkata, sebagai program siaran langsung, pihaknya sukar mengawal apa yang dilakukan artis di pentas dan perkara itu akan dijelaskan kepada CMCF.

“Buat masa ini, kami terpaksa menyekat persembahan Aina di YouTube supaya tidak menimbulkan pertikaian lagi. Selepas keputusan semakan itu, barulah pihak stesen membincangkan tindakan selanjutnya,” katanya.

Selain persembahan Aina, persembahan Drama Band menerusi lagu Drama juga disekat di akaun YouTube TV3 kerana menyentuh isu sensitif berkaitan politik.

Pada acara anugerah berprestij itu, lagu Sumpah nyanyian dan ciptaan Naim Daniel, diumumkan juara AJL34.

Berita Harian X