Khamis, 13 Februari 2020 | 2:18pm
Alha bersama peserta program realiti MUA yang bakal bersaing merebut gelaran juara. Foto NSTP/Khairul Azhar Ahmad
Alha bersama peserta program realiti MUA yang bakal bersaing merebut gelaran juara. Foto NSTP/Khairul Azhar Ahmad

10 jurusolek buru gelaran juara MUA

KUALA LUMPUR: Memulakan pencarian sejak November lalu, program realiti, Malaysia Top Make Up Artist (MUA) membariskan 10 finalis yang bakal menunjukkan skil solekan di bawah penilaian usahawan kosmetik, Datuk Alha Alfa melalui program pertama seumpamanya, dalam episod sulung, Sabtu ini.

Berbekal niat mengangkat profesion jurusolek ke peringkat tertinggi, Alha yang dua kali menaja Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) memenuhi impian menerbitkan program realiti bagi mengasah bakat anak muda dalam dunia solekan.

Alha atau nama penuhnya, Abdul Al Halim Mohd Al Fadzil berkata, saringan awal peserta bermula 13 November hingga 4 Disember lalu melalui penghantaran video solekan berdurasi seminit menggunakan produk Alha Alfa iaitu set Borderless yang diperkenalkan sempena ABPBH 32.

“Juri dipilih akan mengadili hasil solekan peserta dalam setiap episod. Program realiti ini berkonsep tugasan bertema dengan penyingkiran seorang peserta setiap minggu,” katanya kepada BH Online.

Alha yang juga pengasas Alha Alfa Cosmetic berkata, rakaman peringkat suku akhir program realiti ini dibuat di Yogyakarta manakala separuh akhir di Bali, Indonesia.

“Episod akhir dilakukan di Malaysia dengan empat peserta yang mencapai mata tertinggi bersaing merebut posisi juara hingga tempat keempat,” katanya.

MUA yang diterbitkan Alha Alfa Rich Legacy & VC Media & Consultancy Sdn Bhd disiarkan setiap Sabtu jam 9 malam di saluran Astro Ria dan Astro Ria HD 123, mulai minggu ini.

Sebanyak 10 episod akan disiarkan dengan setiap satu membabitkan durasi 30 minit. Program khas bingkisan diari pengalaman peserta juga boleh ditonton di akaun YouTube Channel MTM setiap Rabu jam 12 tengah hari.

Alha berkata, MUA menawarkan hadiah lumayan termasuk wang tunai RM25,000 kepada juara, RM15,000 (naib juara) dan RM10,000 (tempat ketiga).

Selain Alha, juri MUA merangkumi Rozita Che Wan, Datuk Aznil Nawawi, Puan Sri Tiara Jacquelina, Amber Chia, Connie Sim, Kavitha Sidhu, Datin Paduka Suhaimi Baba, Thanuja, Sazzy Falak dan Rizman Ruzaini.

Tidak ketinggalan, pelakon dan pengacara Indonesia, Nana Mirdad dan jurusolek selebriti, Bubah.

Tenaga pengajar dibarisi jurusolek terkenal tanah air seperti Deqsha, Ayang Kamel dan Ezal Ezlizan.

Berita Harian X