Sabtu, 15 Februari 2020 | 9:18pm
Kejayaan filem animasi Kring! mendorong Syarikat Brainy Bones Studio menghasilkan lebih banyak projek bermutu pada masa depan. - Ihsan Brainy Bones Studios
Kejayaan filem animasi Kring! mendorong Syarikat Brainy Bones Studio menghasilkan lebih banyak projek bermutu pada masa depan. - Ihsan Brainy Bones Studios

Kring! diumum filem animasi terbaik di Perancis

KUALA LUMPUR: Produk animasi tempatan terus diiktiraf dunia apabila filem Kring! terbitan Brainy Bones Studios meraih trofi Filem Animasi Terbaik pada Festival Filem Antarabangsa Du Sur Les Handicap 2020 di Lyon, Perancis.

Berkongsi berita gembira, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Brainy Bunch, Mohd Fadzil Hashim berkata, filem animasi Kring! yang diterbitkan anak syarikatnya, dihasilkan bagi menghargai sumbangan guru.

“Syarikat ini mahu menunjukkan keupayaan menghasilkan produk animasi berkualiti,” katanya dalam kenyataan kepada BH Online di sini, hari ini.

Brainy Bones Studios adalah anak syarikat kumpulan Brainy Bunch.

Kring! berkisar karakter guru sekolah dikenali sebagai Suraya yang cukup dedikasi dalam membantu pelajar dan masyarakat setempat.

Filem animasi itu juga meningkatkan kesedaran mengenai masalah disleksia dalam kalangan pelajar.

Mohd Fadzil berkata, syarikat merancang menerbitkan filem animasi bertaraf antarabangsa dengan menggunakan kepakaran animator bebas di seluruh dunia.

Sementara itu, Pengarah Urusan Brainy Bones Studios, Hilmi Ismail berkata, kemenangan itu mendorong syarikat menghasilkan produk animasi bermutu tinggi buat tontonan ramai.

“Terima kasih kepada semua yang menyokong kami. Diharapkan lebih banyak kejayaan akan dicapai pada masa depan,” katanya.

Hilmi berkata, pihaknya menggalakkan lebih banyak pelukis animasi menghasilkan kandungan yang memberi nilai tinggi kepada audiens.

“Kami memerlukan lebih banyak filem dan animasi yang dapat memberikan impak positif,” katanya.

Berita Harian X