Ahad, 1 March 2020 | 4:58pm
Keakraban persahabatan antara Rizalman dan Dayang jelas terpancar pada persembahan mereka di pentas Konsert Kesuma Jiwa 2020 di Istana Budaya, baru-baru ini. Foto Ihsan penganjur Konsert Kesuma Jiwa 2020.
Keakraban persahabatan antara Rizalman dan Dayang jelas terpancar pada persembahan mereka di pentas Konsert Kesuma Jiwa 2020 di Istana Budaya, baru-baru ini. Foto Ihsan penganjur Konsert Kesuma Jiwa 2020.

Angkat khazanah budaya Melayu

KUALA LUMPUR: Seindah nama diberi, begitulah manisnya pengisian Konsert Kesuma Jiwa 2020 di Panggung Sari, Istana budaya (IB), baru-baru ini.

Sejak diumumkan penganjurannya akhir tahun lalu, ramai pencinta fesyen dan seni menantikan pementasan muzikal ini.

Buktinya, sebaik jualan tiket dibuka, habis laris semuanya dalam tempoh singkat 15 minit. Ini mencatat sejarah kepada IB dan penganjur konsert, iaitu pereka fesyen popular, Datuk Rizalman Ibrahim.

Sejarah tercipta apabila buat kali pertama elemen fesyen, muzik dan seni tari digabungkan dalam sebuah pementasan.

Lebih menjadikan Konsert Kesuma Jiwa 2020 istimewa adalah kemunculan penyanyi bersuara gemersik, Dayang Nurfaizah yang juga sahabat baik pereka kelahiran Pulau Pinang itu.

Dayang memukau penonton dengan kelunakan suaranya.
Dayang memukau penonton dengan kelunakan suaranya.

Sebagai pementasan yang meletakkan frasa klasik sebagai tema, konsep diterjemahkan menerusi koleksi pakaian, kostum penyanyi, tarian dan lagu yang didendangkan.

Terbuai perasaan saat mendengar Dayang mengalunkan lagu Melayu lama dengan pelbagai rentak seperti rumba dan bossanova yang cukup sinonim dengan kebanyakan lagu pada zaman itu.

Biarpun mendapat jolokan Ratu R&B, namun anak kelahiran Bumi Kenyalang ini berjaya menonjolkan kehebatan menyampaikan lenggok Melayu Deli dalam setiap untaian didendangkan, hingga penonton larut dalam emosi.

Pada malam itu, Dayang menyampaikan 11 lagu. Setiap karya mempunyai cerita tersendiri dan mampu membangkitkan nostalgia penonton kepada kenangan lama.

Antara lagu yang didendangkan termasuk Tari Tualang Tiga, Mengapa Dirindu, Hati Ke Hati, Bisikan Hati dan Di Pintu Syurga dalam genre asli.

Paling menarik, tentunya lagu irama zapin berjudul Laksamana Raja Di Laut yang disifatkan Dayang sebagai lagu paling sukar dinyanyikan.

“Saya terpaksa berlatih lebih kerana amat susah. Rizalman mahu mendengar saya mendendangkannya, jadi saya terpaksa penuhi permintaannya,” ujarnya.

Dayang dan Rizalman tampil berpadu suara menerusi lagu Gurindam Jiwa yang menyaksikan pereka itu terawang-awang di udara sambil menggesek biola.

Aksi Rizalman ‘terbang’ ketika menggesek biola mengujakan penonton.
Aksi Rizalman ‘terbang’ ketika menggesek biola mengujakan penonton.

Konsert dimulakan dengan tayangan visual yang memaparkan Dayang dan Rizalman menyanyikan lagu Itulah Sayang dalam format video hitam putih seperti yang sering dilihat dalam filem Melayu lama.

Cinta terjalin antara mereka tidak kesampaian apabila Dayang akhirnya berkahwin dengan lelaki lain yang juga penyanyi dan komposer, Hael Husaini.

Bagaimanapun, selepas melalui pelbagai kesukaran dan penderitaan, mereka akhirnya bersatu dan hidup bahagia hingga ke akhirnya.

Aksi Dayang dan Hael menambah keseronokan konsert.
Aksi Dayang dan Hael menambah keseronokan konsert.

Konsert dua jam itu membawa pengertian yang lebih istimewa buat Rizalman kerana pementasan itu adalah lambang penyatuan bangsa dan ikatan silaturahim dalam kehidupan.

“Untuk seseorang mencapai kejayaan, perlu ada ukhuwah atau ikatan dengan orang lain. Bercakap soal tolak ansur, kita perlu memahami dan ada kepercayaan.

“Begitu kasih sayang, perlu menzahirkan perasaan itu. Dalam kehidupan ini, tak boleh sendirian. Jadi, itulah yang saya mahu sampaikan dalam pementasan ini.

“Betapa penting ikatan dan silaturahim dalam kehidupan. Konsert ini juga adalah lambang persahabatan saya dengan Dayang yang sudah dua dekad terjalin,” katanya.

Konsert Kesuma Jiwa 2020 bagaikan saling melengkapi portfolio duo dinamik yang sudah sedia cemerlang.

Pementasan ini dianggap meninggalkan satu lagi khazanah yang bukan sahaja membanggakan, tetapi boleh dijadikan bahan dokumentasi dan sumber rujukan untuk generasi akan datang.

Lebih meninggalkan kesan, pada akhir konsert, Rizalman mengumumkan mengundurkan diri dari dunia fesyen selepas 30 tahun membina jenama.

Pada sidang akhbar, Rizalman yang menyerahkan tanggungjawab kepada pembantu, Faizul Surani, bakal memberi tumpuan kepada cabang lain termasuk hiasan dalaman, kosmetik dan kecantikan.

Konsert Kesuma Jiwa 2020 turut disaksikan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Berita Harian X