Khamis, 5 April 2018 | 10:08am
PELAKON, Risteena Munim. - Foto Luqman Hakim Zubir

Risteena anti lelaki gatal

KUALA LUMPUR: Pelakon, Risteena Munim, mengaku dia cukup anti dengan lelaki yang sudah berumah tangga tetapi masih menggatal dengan perempuan lain.

Risteena atau nama lengkapnya Nur Risteena Munim Zainul Ilyas, 28, berkata sebagai wanita, dia sangat memahami perasaan golongan Hawa yang berdepan situasi suami berlaku curang.

Kata pelakon Hantu Wangan ini, dia sendiri pernah melalui pengalaman hampir sama apabila bekas kekasihnya bermain kayu tiga.

"Saya tak nafikan lelaki boleh kahwin lebih daripada satu. Kita tak boleh elak suami berkahwin dengan wanita lain, tetapi kita boleh mengelak daripada mengahwini suami orang.

"Memang, saya pernah berdepan dengan keadaan didekati suami orang yang hidung belang. Namun, apabila mendapat tahu dia mempunyai niat tertentu, cepat-cepat saya tarik diri. Buat apa kita nak layan orang yang memang ada niat tak baik?" katanya kepada BH Online.

Risteena berkata demikian ketika ditemui pada majlis penjenamaan semula produk kecantikan dan penjagaan kulit, Cantik Dara Sdn Bhd, di sini. Acara itu turut menyaksikan dirinya dilantik sebagai Pengarah Urusan syarikat berkenaan.

Ditanya mengenai ciri-ciri lelaki idamannya, pelakon filem Qhaliq ini berharap bakal suaminya nanti seorang yang mampu memberikan sepenuh kasih sayang.

"Saya tak kisah kalau lelaki itu tidak boleh memberikan kemewahan, asalkan dia dapat menyayangi dan menjaga saya dengan baik. Saya juga berharap ditemukan dengan lelaki bukan 'kaki perempuan' kerana saya pernah melalui pengalaman itu, sebelum ini.

"Bagaimanapun, buat waktu ini fokus saya adalah pada lakonan dan perniagaan. Ibu juga ada berpesan supaya saya jangan kahwin dulu. Sebaliknya, dia menyuruh saya mengumpulkan harta sebelum mendirikan rumah tangga," ujar kakak kepada pelakon, Ruhainies, ini.

Berita Harian X