Jumaat, 4 Mei 2018 | 9:06pm
AZRINAZ mengumumkan pernikahannya dengan Fairos yang dikenali sejak 20 tahun lalu di Instagram. - Foto IG Azrinaz Mahzar Hakim
AZRINAZ mengumumkan pernikahannya dengan Fairos yang dikenali sejak 20 tahun lalu di Instagram. - Foto IG Azrinaz Mahzar Hakim

Azrinaz nikahi teman lama

KUALA LUMPUR: Personaliti popular, Azrinaz Mazhar Hakim mengesahkan dirinya selamat bernikah dengan jejaka yang dikenalinya sejak 20 tahun lalu pada 1 Mei lalu.

Azrinaz memberitahu, jejaka dikenali sebagai Fairos Khan Abdul Hamid itu memahami dirinya dengan latar belakang kehidupan dan kerjaya dalam dunia penyiaran.

"Dengan pernikahan ini, saya berharap semua pihak berilah ruang dengan memahami naluri saya sebagai manusia biasa yang mempunyai kehendak dan perasaan.

"Saya juga mahu hidup berpasangan seperti kalian semua lengkap melengkapi dalam meniti hari tua," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Azrinaz berkata, beliau tidak pernah sesaat sekalipun melupakan atau akan melupakan kedua-dua anakandanya.

"Malah jika diberi peluang dan kesempatan, tanggungjawab dan kasih sayang sebagai ibu sentiasa sedia dicurahkan," katanya yang mengaku mula rapat dengan Fairos sejak setahun lalu.

Menurut kenyataan itu, majlis pernikahan diadakan di kediaman pengantin perempuan secara tertutup dihadiri keluarga terdekat.

Mempelai dinikahkan Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Ustaz Hazman Hashim berwalikan bapa Azrinaz.

Tambah Azrinaz, dalam kehidupannya, bukanlah material yang dicari.

"Cukuplah seorang insan yang dapat membimbing, menemani, menyayangi, menghargai, menghormati dan menyanjungi diri ini dikala susah senang, suka duka, cerdas dan sakit, sewaktu kepala masih diliputi rambut mahupun sehelai dua.

"Kami bukanlah sempurna, dengan ketidaksempurnaan inilah yang melengkapi kami berdua.

"Dari lubuk hati, maaf dipohon, 10 jari disusun kerana berita ini tidak dikongsi dengan rakan-rakan media terlebih dahulu mahupun sahabat-handai.

"Biarlah penyatuan ini selamat selesai semuanya sebelum hebahan tiada kena mengena semata-mata. Hubungan yang terjalin ini saya memilih cara lebih 'privacy' begitu juga dalam melayari alam rumahtangga nanti," katanya.

Azrinaz berkata, perancangan majlis perkahwinan hanya dibuat sejak dua bulan lalu.

Berita Harian X