Selasa, 17 Julai 2018 | 9:26am
MENGIKUT jejak dua kakak, Asha Zainul mencuba nasib dalam dunia lakonan dengan membintangi telefilem Congirl terbitan Ruhainies. - Foto Ihsan Asha Zainul
ASHA Zainul

Adik ikut langkah Risteena, Ruhainies

KUALA LUMPUR: Siapa sangka selepas dua beradik, Risteena Munim dan Ruhainies terjun ke dalam dunia lakonan, rupa-rupanya ada seorang lagi adik mereka mengikut jejak sama.

Menyedari potensi Asha Zainul, 22, Ruhainies yang sudah bergelar penerbit, memberi peluang kepada penuntut bidang komunikasi dan pengajian media itu untuk berlakon dalam telefilem, Congirl.

Asha atau nama penuhnya, Nur Riesha Sharmin Zainul Ilyas mengaku teruja mencuba nasib sebagai pelakon di bawah bimbingan dua kakak tersayang.

"Kebetulan saya sedang cuti semester pada tahun akhir pengajian. Peluang ini diberi Ruhainies sebagai penerbit eksekutif dan saya cuba memanfaatkannya.

"Insya-Allah, kalau nasib saya dalam dunia lakonan, saya akan teruskan kerjaya ini," katanya kepada BH Online.

Congirl yang juga telefilem terbitan Ruhainies dan syarikat Zeel Production, menjalani penggambaran di Budapest, Hungary, baru-baru ini.

Asha berkata, dua kakaknya itu menjadi pendorong utama untuk dirinya mendekati dunia lakonan.

"Mereka beri dorongan kuat selain anggota keluarga yang lain," katanya.

Anak keempat dari lima beradik ini juga seronok menimba pengalaman berlakon di Budapest.

"Kru dan pihak produksi banyak membimbing dan membantu saya. Jadi, saya tak kekok. Ruhainies pun banyak membakar semangat saya untuk menghakis perasan malu beraksi depan kamera," katanya.

Selepas telefilem Congirl, Asha akan menjalani penggambaran drama Rahsia Hati bersama Risteena di Perak.

"Selain dapat mengisi masa lapang dan mengasah bakat lakonan, saya dapat duit poket," katanya.

Mengenai bidang akademik, Asha dijangka memulakan latihan amali, September depan disusuli majlis graduasi, tahun depan.

Berita Harian X