Sabtu, 28 Julai 2018 | 11:50am
ASYRAF Khalid dan Tya Ariffin pada majlis pelancaran jenama diusahakan mereka, Jamu Mutyara, di Kuala Lumpur. - Foto Mahzir Mat Isa
ASYRAF Khalid dan Tya Ariffin pada majlis pelancaran jenama diusahakan mereka, Jamu Mutyara, di Kuala Lumpur. - Foto Mahzir Mat Isa

Asyraf dedah pengalaman 'ditolak' selebriti popular

KUALA LUMPUR: Pengalaman hasrat untuk bekerjasama ditolak mentah-mentah oleh seorang selebriti ternama menjadi pengajaran berguna buat Asyraf Khalid memajukan diri dalam perniagaan.

Anak tiri penyanyi terkemuka, Datuk Seri Siti Nurhaliza, itu berkata walaupun terkesan dengan insiden berkenaan, ia tidak pernah mematahkan semangatnya untuk terus berjaya dalam dunia bisnes.

"Saya ada menghubungi seorang selebriti popular untuk menjalinkan kerjasama dalam bidang perniagaan. Selepas mengadakan perbincangan bersamanya dan pihak pengurusan beliau, selebriti terbabit seolah-olah memberikan bayangan dirinya akan bersetuju dengan kerjasama berkenaan.

"Bagaimanapun, apabila saya menghubunginya semula, hasrat itu ditolak selebriti terbabit. Apapun, saya tidak menganggap diri ini dipermainkan olehnya.

"Saya sebaliknya melihat perkara itu dari sudut positif. Ia boleh dianggap sebagai pengalaman dan pengajaran untuk saya terus maju dalam perniagaan," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran produk Jamu Mutyara yang diusahakannya bersama isteri, Tya Arifin, di sini.

Mengulas dakwaan Tya yang secara berseloroh mengatakan suaminya enggan menjalinkan kerjasama perniagaan dengannya kerana dirinya tidak popular, sambil tertawa Asyraf, 26, mengakui perkara itu.

"Ia perkara biasa dalam perniagaan kerana penjenamaan adalah sangat penting.

"Nilai populariti amat besar dan apabila Tya semakin dikenali serta produk jamu dihasilkannya berdasarkan resipi keluarga semakin mendapat sambutan, barulah saya yakin untuk bekerjasama dengannya," ujar bapa kepada pemenang kategori Si Cilik Meletop, Anugerah Meletop 2018, Arif Jiwa ini.

Selain Siti yang turut menghiburkan tetamu dengan dua lagu, majlis berkenaan turut diserikan dengan kehadiran artis popular lain, antaranya Izara Aishah, Farahdhiya, Emma Maembong, Fauziah Ahmad Daud, Syatilla Melvin, Siti Elizad, Datin Fouziah Gous, Wak Doyok dan Puteri Sarah Liyana.

Berita Harian X