Selasa, 16 Oktober 2018 | 4:15pm
RUHAINIES belum bersedia memperkenalkan identiti kekasihnya. - Foto Aswadi Alias

Ruhainies bahagia jalin cinta jarak jauh

KUALA LUMPUR: Kisah percintaannya dengan jejaka yang kini menetap di London, United Kingdom bukan lagi rahsia, namun bagi Ruhainies, masih belum masanya untuk dia berkongsi identiti kekasihnya.

Tidak menyembunyikan kebahagiaan apabila berkongsi luahan hati di laman sosial, Instagram, adik kepada pelakon, Risteena Munim itu bagaimanapun, memilih untuk tidak terlalu terbuka bercerita mengenai urusan peribadi.

Ruhainies atau nama sebenarnya, Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 26, juga enggan mengulas panjang apabila ditanya mengenai percutiannya di kota Inggeris itu, baru-baru ini.

“Segala butiran mengenai jejaka itu, termasuk wajahnya hanya akan saya kongsi kepada umum apabila sudah bersedia. Ketika ini, biarlah hubungan kami mekar terlebih dahulu.

“Kami juga masih dalam fasa mengenali hati budi masing-masing dan memerlukan masa sebelum membawa hubungan ini ke peringkat lebih serius.

“Doakan sahaja yang baik-baik, insya-Allah jika dia memang jodoh saya, kami akan ke jenjang pelamin. Biarlah kami saling mengenali antara satu sama lain dahulu,” kata pelakon yang popular menerusi drama Menantu Ting Tong itu.

Ruhainies berkata, jejaka sebaya usianya itu adalah ahli perniagaan dan sudah enam tahun menetap di London. Sesekali, akuinya, teman lelakinya itu akan pulang ke ibu negara atas urusan kerja.

Menjalin cinta jarak jauh, ia tidak sedikit pun menjejaskan kemesraan mereka dan ia terbukti apabila Ruhainies berkongsi catatan indah daripada kekasihnya menerusi IG Story.

“Saya bersyukur setiap hari kepada Allah kerana mengizinkan kita bertemu. Saya akan terus berdoa hingga suatu hari nanti apabila jantung ini berhenti berdegup.

“Terima kasih untuk segala-galanya awak. Saya mencintai awak sepenuh jiwa,” tulis jejaka itu dalam catatan yang dikongsi Ruhainies.

Berita Harian X