Isnin, 25 Februari 2019 | 9:00am
KILAFAIRY jaga diri elak nama terpalit kontroversi murahan dan memalukan. - Foto Rosela Ismail
KILAFAIRY jaga diri elak nama terpalit kontroversi murahan dan memalukan. - Foto Rosela Ismail

'Suami orang boleh pergi jauh-jauh'

KUALA LUMPUR: Memiliki tubuh seksi dan seraut wajah menawan, penyanyi serta pelakon, Kilafairy, 26, sering dilabel sebagai penggoda.

Sudah lali mendengarnya, pelakon filem Karak dan Horey! Horey! itu menegaskan, dia pantang jika dihimpit lelaki hidung belang yang cuba memancing hatinya.

“Sejak dulu lagi, saya sering dilabel seksi dan penggoda, tetapi pernahkah saya terpalit dengan skandal bersama suami orang atau rakan artis?

“Tidak pernah kerana saya masih ada harga diri. Saya tidak akan membiarkan diri terjebak dengan kontroversi murahan dan memalukan.

“Alhamdulillah, biar apa juga tanggapan ramai, saya tidak pernah terseret dalam kancah gosip memalukan,” katanya.

Gadis kelahiran Kuala Lumpur itu tidak menafikan, dirinya sering dihimpit lelaki berstatus dan berkedudukan, namun dia tidak mudah terbuai dengan godaan mereka.

“Saya tidak suka apabila suami orang menagih cinta. Tolong padamkan hasrat mahu ‘mengorat’ saya kerana saya tidak akan melayan mereka.

“Ada juga yang cuba bertindak melampaui batas. Tidak dapat menghubungi saya, pengurus pula yang menjadi mangsa,” katanya.

Kilafairy berkata, ibunya, Rohana Jalil sering mengingatkannya supaya tidak bersikap kurang ajar dan setiap kali cuba dihimpit, dia akan menangkis pelawaan itu dengan baik, tanpa memalukan sesiapa.

Pemegang Diploma Pengurusan dan Pemasaran Fesyen, Kolej Antarabangsa Raffles, Kuala Lumpur itu berkata, dia juga tidak pernah tertarik untuk menjalin cinta dengan rakan artis.

“Sejak awal lagi, saya bertekad untuk tidak terjebak dalam cinta lokasi. Saya sudah kenal siapa mereka, malah mereka mungkin pernah bercinta dengan rakan artis lain.

“Saya takut terbayang kisah silam masing-masing, jadi lebih baik saya mengelak. Jika ada yang cuba rapat, awal-awal lagi saya tolak dengan baik,” katanya yang menjalankan perniagaan produk kesihatan dan pelangsingan badan, KilaFit, sejak enam bulan lalu.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X