Isnin, 18 March 2019 | 5:41pm
Ahmad Idham sudah melepaskan kepentingan dalam dua syarikat bagi memenuhi syarat pelantikan sebagai CEO FINAS. Foto NSTP Hafiz Sohaimi
Ahmad Idham sudah melepaskan kepentingan dalam dua syarikat bagi memenuhi syarat pelantikan sebagai CEO FINAS. Foto NSTP Hafiz Sohaimi

'Saya dah lepaskan dua syarikat'

KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Ahmad Idham Ahmad Nadzri sudah melepaskan kepentingan dalam dua syarikat sebelum dilantik menerajui organisasi itu.

Ahmad Idham menjelaskan beliau sudah tiada lagi kepentingan dalam Syarikat AIFA Motion Pictures Sdn Bhd dan AIFA Skills Academy, sebaik dilantik sebagai CEO FINAS.

“Untuk menduduki jawatan ini, saya perlu melepaskan syarikat saya kepada orang lain. Ini adalah suatu pengorbanan demi membangunkan industri seni tempatan,” katanya kepada BH Online.

Minggu lalu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo mengumumkan pelantikan Ahmad Idham sebagai CEO FINAS, berkuat kuasa 11 Mac lalu.

Pelantikan Ahmad Idham mendapat reaksi pelbagai pihak termasuk individu yang mempersoalkan status pengarah filem itu yang dianggap masih aktif berkarya.

Ahmad Idham berkata, beliau bersikap terbuka dengan mana-mana pihak yang mempersoalkan pelantikan dan kredibiliti dirinya mengetuai perbadanan itu.

Menurutnya, beliau tidak berkecil hati kerana menyedari tidak semua orang menyukai dirinya, apatah lagi tahu beliau berpengalaman dalam bidang pengurusan industri seni.

“Saya tidak salahkan mereka... Masing-masing ada hak bersuara. Kebanyakannya melihat saya dalam bahagian skil kreatif, tapi tidak ramai yang tahu kemahiran saya dalam bidang pengurusan.

“Saya pernah menjadi Ahli FINAS selama dua penggal pada 2010 dan 2011 di mana ketika itu, dianggap tahun kemuncak industri kita.

“Selain itu, semestinya ada kriteria lain yang membuatkan kementerian memilih saya,” katanya.

Ditanya mengenai perancangan mengemudi FINAS, Ahmad Idham mahu melakukan apa yang dikatakan ‘pembersihan’ dan penstrukturan semula perbadanan itu.

“Langkah pertama, saya mahu membetulkan konsep pembangunan peneraju FINAS di mana selama ini orang pandang negatif.

“Apabila FINAS distruktur semula, baru boleh buat penambahbaikan terutama berkaitan kebajikan anak-anak seni,” katanya.

Pelantikan Ahmad Idham yang memiliki pengalaman lebih 25 tahun dalam industri kreatif, adalah bagi tempoh dua tahun.

Ahmad Idham memiliki ijazah sarjana muda perakaunan dari Universiti Teknologi MARA UiTM) dan mempunyai kepakaran serta pengalaman dalam industri kreatif. Beliau juga pernah mencatat rekod dan menerima pelbagai anugerah di dalam dan luar negara.

Pelantikan itu adalah keputusan Ahli Lembaga Pengarah FINAS berdasarkan peruntukan dalam Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981.

Ahmad Idham menggantikan pemangku Ketua Pengarah FINAS, Shakib Ahmad Shakir yang menjalankan tugas selama empat bulan lalu.

Berita Harian X