Selasa, 16 Julai 2019 | 9:00am
Izzue dan isteri reda belum beroleh rezeki menimang cahaya mata namun tidak berputus asa berusaha sejak enam tahun lalu. Foto IG Izzue Islam

'Saya takkan madukan isteri'

KUALA LUMPUR: Tidak pernah terdetik di hati Izzue Islam untuk ‘memadukan’ isteri, Awin Nurin biarpun rumah tangga mereka belum lagi dikurniakan cahaya mata.

Beristeri dua, bagi penyanyi, pelakon dan pengacara ini, bukannya penyelesai masalah, sebaliknya ‘raja’ kepada segala kesulitan.

Hakikatnya, tiada zuriat bukan bermakna bahtera rumah tangga Izzue, 29, dan Awin, 37, tidak bahagia.

Cinta yang terpahat di hati aktor yang pernah diangkat sebagai Pelakon Harapan Terbaik, Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-25 itu tidak sedikitpun terjejas, biarpun sudah enam tahun menunggu kehadiran si kecil.

Malah, sumpah setianya tetap kukuh tersemat kepada Awin, biarpun sering dikeji, dicaci dan dihina warganet.

Sesetengahnya menuduh Izzue mandul dan tidak mampu membahagiakan isterinya, lantas meminta artis terbabit menceraikan Awin.

Mengulas ‘gangguan’ yang diterima di laman sosial, Izzue atau nama sebenar, Muhammad Izzul Islam Mazlan memberitahu:

“Jujurnya, saya akui provokasi warganet sering kali ada di Instagram. Tetapi saya dan isteri tidak menghiraukannya. Jika melayan dan menghayati perkataan ditulis, saya dan Awin akan memendam rasa sakit hati.

“Paling terkesan tentunya saya dituduh mandul dan tidak mampu memberi kebahagiaan buat isteri. Malah, ada yang meminta saya melepaskan Awin.

“Saya tahu, saya tidak sempurna, tetapi tidak sesekali saya membiarkan warganet yang mahu menggugat rumah tangga. Saya percaya kepada pilihan hidup, jadi saya sanggup telan onak dan duri,” katanya kepada BH Online.

Izzue yang juga bekas anggota kumpulan Forteen, mendirikan rumah tangga dengan Awin pada 2 Jun 2013.

Izzue mengaku isterinya pernah tertekan ketika isu mengenai zuriat mula-mula diperkatakan netizen.

“Pada peringkat awal, Awin tertekan, tetapi tidaklah sampai malu keluar rumah dan berdepan dengan khalayak.

“Awin pelik, kenapa warganet suka mengata dan mencari kelemahan dirinya?” katanya.

Ditanya kemungkinan menjalani ujian kesuburan selepas enam tahun berusaha mendapatkan zuriat, Izzue berkata:

“Saya dan Awin tidak pernah membuat rawatan itu selama enam tahun berkahwin. Bukan kami tidak mahu, tetapi tuntutan kerja saya terlalu padat.

“Selama ini, saya dan Awin hanya memikirkan kerja untuk mencari rezeki. Bagaimanapun, sudah tiba masanya saya melakukannya... Usia saya pun bukan muda lagi.

“Bagaimanapun, sebelum membuat ujian kesuburan, saya dan Awin harus membuat rawatan terlebih dahulu untuk memastikan masalah kami. Insya-Allah, kami serius mahu mendapatkan rawatan dalam usaha memiliki cahaya mata, tahun ini,” katanya.

3395 dibaca
Berita Harian X