Isnin, 16 September 2019 | 11:00am
Sissy mahu terus positif menerima kecaman netizen demi mencari rezeki dalam dunia seni. Foto NSTP Aziah Azmee

'Kalau tiada rezeki, saya balik kampung tanam jagung'

KUALA LUMPUR: Gara-gara berkongsi video menari ketika membawa watak ibu hamil dengan memakai baju kelawar, penyanyi dan pelakon, Sissy Iman dikecam teruk netizen.

Namun, Sissy atau nama penuhnya, Sissy Imann Mohammad Kamil, 24, mengambil pendekatan positif biarpun kritikan yang dilemparkan berbaur negatif termasuk mendakwa konon dirinya artis ‘sendu’ atau tidak popular.

"Kalau saya ‘sendu’ sekalipun, sebutlah elok-elok. Artis ini individu yang menzahirkan seni. Kami susah payah menyanyi, mencipta lagu, menjadi pelakon dan pengacara.

"Walaupun ‘sendu’, ini kerjaya kami. Sekurang-kurangnya belajar sedikit demi sedikit. Alhamdulillah, Tuhan masih bagi saya rezeki ‘cari makan’ dalam bidang ini.

"Insya-Allah, apabila Tuhan sudah tak bagi rezeki dalam bidang ini, saya balik kampung tanam jagung okay... Semoga Tuhan merahmati awak selalu,” balasnya di Twitter.

Aksi tarian Sissy membuatkan netizen kurang senang dan terus mempersoalkan bakat Sissy dalam bidang seni. Ada netizen mendakwa Sissy tiada hala tuju dan lebih baik pulang ke kampung halaman.

Sissy mahu terus mengambil teguran dan kecaman netizen secara positif. Malah, dia menyifatkan kerjaya sebagai selebriti bukanlah mudah disangka.

“Mungkin orang nampak kehidupan kami ini senang dan penuh glamor. Hakikatnya, kami menghadap benda macam inilah hari-hari... Perlahan-lahan merangkak.

“Terima kasih kepada semua yang setia dan memberi peluang untuk Sissy membesar dalam industri seni. Alhamdulillah... Semoga Allah memberkati anda semua,” katanya.

Berita Harian X