Isnin, 16 September 2019 | 1:39pm
AZRINAZ selamat melahirkan anak perempuan, jam 10.20 pagi, semalam. Foto Ihsan Azrinaz Mazhar Hakim

Azrinaz timang anak perempuan

KUALA LUMPUR: Bekas personaliti televisyen, Azrinaz Mazhar Hakim selamat melahirkan bayi perempuan di sebuah pusat perubatan, jam 10.20 pagi, semalam.

Bayi itu dilahirkan secara normal dengan berat 2.75 kilogram.

“Saya dimasukkan ke pusat perubatan dari jam 5.30 pagi. Beberapa jam selepas itu, anak saya dilahirkan. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar dan proses kelahiran juga mudah.

“Saya tidak menjangka semuanya berlaku begitu pantas. Mungkin kerana saya mengamalkan gaya hidup sihat, selain rezeki, semuanya menjadi mudah,” katanya.


AZRINAZ teruja kembali menimang cahaya mata selepas 11 tahun. Foto Ihsan Azrinaz Mazhar Hakim

Isteri kepada Fairos Khan Abdul Hamid itu berkata, dia begitu teruja apabila kembali menimang cahaya mata selepas 11 tahun.

“Nampaknya selepas ini, rutin hidup saya akan berubah dan mungkin terpaksa berjaga malam. Saya tidak kisah berkorban kerana semua itu demi anak tersayang,” katanya.

Azrinaz berkata, ketika ini, dia masih belum bersedia berkongsi gambar wajah anaknya, malah nama hanya akan diumumkan selepas tujuh hari.

Pasangan itu melangsungkan perkahwinan dalam satu majlis tertutup pada 1 Mei tahun lalu. Azrinaz yang pernah menjadi penulis kolum di BH dan suami mula rapat sejak lebih setahun lalu.

Menerusi perkahwinan terdahulu bersama Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, Azrinaz dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu, Pengiran Muda Abdul Wakeel, 13, dan Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah, 11.

Berita Harian X