Rabu, 16 Oktober 2019 | 11:38am

'Tak datang pula...'

PETALING JAYA: Pelakon Lufya Omar mendakwa kesal suaminya, Dr Che Muhammad Hafiz Che Baharum tidak hadir pada sebutan kes permohonan cerai mereka di Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari di sini, pagi tadi.

Lufya atau nama sebenarnya, Lutfyah Sheikh Omar mendakwa suaminya sudah diberi notis awal untuk hadir ke mahkamah, namun gagal menunjukkan muka.

"Terkilan sebab perkara ini boleh diselesai dan ‘disembuhkan’ dengan cepat. Ia bukan membabitkan soal saya dan dia sahaja, tetapi anak kami juga.

“Saya kena sembuh daripada kesakitan ini. Selama ini, saya seperti didera jiwa. Siapa yang kahwin nak bercerai, tapi saya dapat petunjuk sebaliknya.

“Saya tidak mahu lagi terus berada dalam perkahwinan yang penuh toksik ini,” katanya kepada pemberita sejurus berakhirnya prosiding di mahkamah.

Ditanya mengenai tindakan suami membuat laporan polis atas dakwaan tuduhan dilemparkan Lufya keterlaluan, pelakon ini berkata, dia belum menerima apa-apa makluman daripada pihak berkuasa.


Lufya tidak dapat meneruskan kes sebutan permohonan cerai selepas suaminya, Dr Che Muhammad Hafiz tidak hadir ke mahkamah. NSTP/Faiz Anuar

“Saya berani kerana benar. Hendak saman atau apa-apa sekali pun saya bersedia,” katanya yang mendakwa sudah lebih empat bulan digantung tak bertali.

Dalam prosiding itu, Peguam Syarie, Fadhlina Siddiq yang mewakili Lufya memaklumkan saman kepada defendan diserahkan di tempat kerjanya di Jempol, Negeri Sembilan pada 7 Oktober lalu.

"Pihak kami tiada maklumat mengenai ketidakhadiran defendan pada hari ini dan memohon tarikh lain untuk sebutan permohonan cerai mengikut Seksyen Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003," katanya.

Sehubungan itu, Hakim Syarie, Shukran Yusof menetapkan 18 November depan bagi kedua-dua pihak hadir dan memaklumkan prosiding boleh diteruskan Jawatankuasa Pendamai (JKP) dan Hakam.

Sementara itu, Dr Che Muhammad Hafiz ketika dihubungi menjelaskan beliau sudah memaklumkan kepada mahkamah mengenai ketidakhadiran dalam prosiding, hari ini.

“Saya sudah berurusan dan memaklumkan melalui surat kepada mahkamah mengenai tarikh berkenaan (prosiding sebutan kes permohonan cerai).

“Jadi, tidak ada perkara yang saya mahu ulas,” katanya.

Mengenai dakwaan Lufya dirinya ‘digantung tak bertali’, Dr Che Muhammad Hafiz mahu perkara itu dijawab isterinya sendiri.


Lufya hadir di Mahkamah Syariah Subang Bestari bagi sebutan kes permohonan cerai namun hampa selepas suaminya, Dr Che Muhammad Hafiz tidak hadir. NSTP/Faiz Anuar

“Itu awak kena bertanya kepada pihak plaintif kerana dia yang membuat dakwaan kepada media... Jadi, dia kena jelaskan.

“Sepanjang saya tahu, saya sudah laksanakan tanggungjawab,” katanya.

Dr Che Muhammad Hafiz menjelaskan apa yang dihadapi adalah masalah rumah tangga mereka.

“Pihak plaintif sudah memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Syariah... Maka, kita serahkan kepada mahkamah untuk menyelesaikan isu rumah tangga kami,” katanya.

Bintang Mahar Tanpa Cinta itu mendirikan rumah tangga dengan Hafiz pada 26 November 2016. Mereka dikurniakan anak perempuan, Laana Haura, yang berusia dua tahun.

Pergolakan rumah tangga Lufya dan suami 'dihidu' media pada Oktober, tahun lalu hingga diperkatakan ramai. Ada pihak mendakwa pasangan terbabit mahu berpisah. Namun, menerusi Instagram (IG), Lufya menjelaskan perkahwinan mereka masih utuh dan meminta orang ramai tidak membuat spekulasi.

September lalu, rumah tangga pasangan ini kembali menjadi bualan apabila pelakon itu memuat naik status mendakwa suaminya tidak menjalankan tanggungjawab selepas tiga bulan berkahwin.

Lufya hadir di Mahkamah Syariah Subang Bestari bagi sebutan kes permohonan cerai namun hampa selepas suaminya, Dr Che Muhammad Hafiz tidak hadir. NSTP/Faiz Anuar
Berita Harian X