Sabtu, 7 Disember 2019 | 6:21pm
HAMPIR 20 tahun dalam industri, Corrie mengakui kecewa sering ditawarkan bayaran tidak setimpal pengalaman. - Foto Eizairi Shamsudin

Kecewa bayaran tak setimpal

KUALA LUMPUR: Pelakon Adam Corrie Lee, menggesa badan berkaitan, termasuk persatuan hiburan supaya mengkaji bayaran untuk pelakon yang disifatkannya sebagai tidak masuk akal.

Corrie berkata, walaupun sudah hampir 20 tahun dalam industri hiburan, harga yang ditawarkan kebanyakan produksi tidak rasional dan tidak setimpal pengalamannya.

“Saya mengharapkan badan seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan persatuan hiburan yang ada supaya mengambil serius isu bayaran untuk pelakon.

“Tolonglah buat tinjauan berapa syarikat produksi bayar kepada pelakon. Saya sudah hampir 20 tahun berlakon, tetapi bayaran yang diterima cukup mengecewakan.

“Ada kala, saya terpaksa menolak tawaran kerana bajet yang diberikan tidak berbaloi. Akibatnya, hampir empat bulan saya tiada ‘job’,” katanya.

Pelakon Ombak Rindu The Series itu berkata, ada segelintir produksi seperti penerbit filem pendek yang mahu mendapatkan khidmat mereka secara percuma, tetapi enggan menanggung bayaran tol dan minyak.

“Habis kami mahu makan apa? Syarikat produksi sepatutnya lebih peka kerana kami juga ada keluarga yang perlu ditanggung dan komitmen bulanan untuk dilunaskan. Sampai bila hendak terima upah tidak setimpal?,” katanya.

Selain itu, Adam turut meluahkan kekecewaan berikutan tawaran diterima semakin terbatas apabila sering diberikan watak antagonis dan mualaf.

Bukan kerana bosan melakonkan watak stereotaip, Adam bagaimanapun, berharap diberi peluang mempelbagaikan karakter untuk mencari cabaran baharu sebagai pelakon.

“Saya harap produser dan pengarah buka mata. Saya bukan hendak besar kepala, tetapi saya juga boleh membawakan pelbagai watak.

“Saya tidak pernah menimbulkan masalah di set, malah memberikan komitmen baik sepanjang penggambaran. Tetapi, saya tidak faham kenapa mereka sukar memberi peluang untuk saya membawakan watak lain.

“Saya cuma memohon diberikan peluang untuk mempelbagaikan karakter. Saya juga teringin membawakan watak sebagai anggota badan beruniform, tetapi peluang seperti itu tidak datang,” katanya.

Berita Harian X