Rabu, 22 Januari 2020 | 3:30pm
Sasha enggan ambil peduli kontroversi yang tercetus. NSTP/Eizairi Shamsudin

Baru tiga hari kahwin, Sasha dituduh perampas?

KUALA LUMPUR: Baru tiga hari bernikah, sudah ada cerita panas.

Gara-gara e-mel yang tersebar sejak beberapa hari lalu, penyanyi dan pelakon, Sasha Saidin, 43, yang menikahi teman lama, Sirhan Wahab, 42, dituduh perampas.

Lebih memeranjatkan, penulis yang didakwa dikenali Sasha, menuduh anggota kumpulan Elite itu menjadi punca keruntuhan rumah tangga Sirhan, malah hubungan dikatakan terjalin ketika dia masih suami orang.

Selain itu, perkahwinan Sasha dan Sirhan didakwa tidak direstui keluarga lelaki itu.

Menghubungi Sasha, dia enggan mengambil peduli dengan kontroversi tercetus.

“Saya mahu menikmati fasa bahagia yang baru bermula. Insya-Allah, saya akan berhijrah ke Dubai minggu depan mengikuti suami yang bertugas di sana.

“Saya berterima kasih di atas semua ucapan tahniah dan doa diberi sempena perkahwinan kami.

“Saya dan suami ingin menjelaskan apa yang tersebar adalah fitnah semata-mata. Kami tahu siapa yang menulis e-mel dan menyebarkannya. Mudah-mudahan, Tuhan akan memaafkannya,” kata Sasha.

Sasha berkata, majlis pernikahan mereka dihadiri kedua-dua keluarga yang sentiasa mendoakan kesejahteraan mereka.

“Saya mengenali suami sejak 20 tahun lalu. Bagaimanapun, hubungan mula akrab sejak Jun tahun lalu. Alhamdulillah, ahli keluarga kami hadir pada hari bersejarah ini.

“Kita hanya manusia dan mampu merancang, tetapi sebaik-baik perancang adalah Allah SWT,” ujarnya.

Berita Harian X