Sabtu, 25 Januari 2020 | 6:00pm
Ogy menggalas tanggungjawab mengetengahkan Khai untuk kelihatan hebat di panggung Istana Budaya. - NSTP/Asyraf Hamzah

Ogy suka suara Khai Bahar

KUALA LUMPUR: Biarpun usaha artis versatil popular, Fauziah Ahmad Daud mendidik artis baharu umpama mencurah air di daun keladi, tetapi tidak menghalangnya menjadi pendidik.

Penghibur TV Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 97/98 itu berkata, dia cuba mendidik ketika menjadi juri program realiti, Akademi Fantasia tetapi ramai tidak menyukai caranya.

“Walaupun ramai tak suka, ia tidak menghalang saya menjadi pendidik. Sampai masa, saya akan bersara juga.

“Jadi, saya mahu bakat-bakat yang dididik mencipta kecemerlangan. Impian saya mahu mencipta artis berkaliber dan penghibur yang bagus, tak kira lakonan mahupun nyanyian.

“Sudah tiba masa untuk saya mendisiplinkan dan mendidik bagi menghargai kurniaan Allah SWT,” katanya kepada BH Online.

Fauziah yang lebih mesra disapa Ogy berkata, dia mahu berkongsi formula yang membolehkan seseorang artis selebriti bertahan sepertinya.

“Saya mahu mendidik bagaimana mampu terus relevan dalam industri hiburan. Saya mahu kongsi pengalaman selama lebih empat dekad ini.

“Rugi seseorang yang dikurniakan bakat tetapi tiada guru mengetengahkan mereka,” katanya.

Mengulas keberaniannya menganjurkan Konsert Khai Bahar: Dari Smule Ke Pentas Dunia menerusi syarikat, Ogy Ventures & Network Sdn Bhd, Ogy berkata, dia mahu melatih dan mendidik lebih ramai penghibur yang boleh dibanggakan.

“Khai, antara seorang penyanyi bersuara lunak. Saya sering menonton persembahannya, tetapi kenapa tiada siapa yang mampu mengeluarkan pesonanya.

“Dan kenapa tiada siapa mahu mengajarnya untuk kelihatan hebat di panggung. Jadi, saya ambil cabaran ini.

“Saya mahu menolak Khai ke tahap seterusnya, sebab saya percaya penyanyi lagu Luluh ini mampu melakukannya.

“Saya yakin Khai boleh memberi inspirasi kepada penyanyi lain,” katanya selaku penganjur dan penerbit eksekutif konsert berkenaan. Konsert berkenaan dijangka berlangsung pada 27 dan 28 Mac ini di Istana Budaya.

Selepas konsert berkenaan, Ogy Ventures akan mementaskan teater komedi arahan Khir Rahman pada 7 hingga 9 Februari ini di Istana Budaya.

Tidak hanya fokus dengan syarikat produksi, Ogy juga membuka saluran YouTube, Ogy TV.

Bagi Ogy, saluran itu diwujudkan bagi menyambung legasi seni yang sudah berusia lebih empat dekad.

“Saya mahu generasi baharu faham, bukan mudah mahu memasuki industri hiburan. Saya tidak mengamalkan budaya karpet merah.

“Apa yang dikongsi adalah pengalaman saya mengenai bagaimana arwah ayah mendidik.

“Saya tidak menjangkakan keuntungan dari pembukaan saluran ini, sebaliknya ia penyambung legasi. Saya tak mahu apabila sudah tiada, orang pandai-pandai buat cerita mengenai saya,” katanya yang sibuk dengan penggambaran telefilem, Stesen Ke Daerah Qalbi sempena Maal Hijrah.

Saluran YouTube itu mula dibuka sejak 25 Januari tahun lalu dan kini mencecah lebih 18,400 pelanggan dengan jumlah 1.7 juta tontonan bagi video yang dimuat naik.

Berita Harian X