Selasa, 18 Februari 2020 | 10:33am
SAZZY Falak dan Ashraf Sinclair. - Foto NSTP
SAZZY Falak dan Ashraf Sinclair. - Foto NSTP

Sazzy terkejut teman baik pergi

KUALA LUMPUR: Pemergian pelakon mencipta nama di Indonesia, Allahyarham Ashraf Sinclair dipercayai akibat sakit jantung di Jakarta, pagi ini, mengejutkan Sazzy Falak yang juga kenalan rapat keluarga arwah.

Sazzy yang rapat dengan adik arwah, Aishah, tergamam sebaik dimaklumkan berita itu, pagi ini.

“Saya rapat dengan Aishah dan arwah. Berita ini dimaklumkan Aishah kepada saya.

“Saya masih terkejut hingga sekarang. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh arwah,” katanya kepada BH Online.

Sazzy memberitahu, dia dan suami, Nazril Idrus sedang dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk ke Jakarta bagi menziarahi arwah.

Difahamkan, Aishah Sinclair dan keluarga juga sedang dalam perjalanan ke Jakarta.

Sementara itu, pengurus Ashraf, Desy dalam mesej dihantar melalui WhatsApp kepada BH Online, mengesahkan pelakon itu meninggal dunia di Hospital MMC, Jakarta, pada jam 4.51 pagi waktu tempatan, iaitu 5.51 pagi waktu Malaysia.

Dalam mesej itu, Desy menyebut, Ashraf yang berusia 40 tahun, meninggalkan balu, penyanyi Bunga Cinta Lestari (BCL) dan anak, Noah Sinclair.

Butiran lanjut mengenai pemergian Ashraf termasuk maklumat pengebumian belum diperoleh.

Pagi tadi, portal berita KOMPAS.com melaporkan Ashraf meninggal dunia akibat serangan jantung.

Mengikut laporan itu, pemergian Ashraf disahkan pengurus BCL, Doddy yang menyatakan serangan jantung sebagai punca kematian.

Berita Harian X