Selasa, 18 Februari 2020 | 3:23pm
Entri dikongsi Adam di IG enam hari lalu, yang memaparkan foto dirinya dan Ashraf, menyentuh emosi pengikut. Foto IG Adam Sinclair
Entri dikongsi Adam di IG enam hari lalu, yang memaparkan foto dirinya dan Ashraf, menyentuh emosi pengikut. Foto IG Adam Sinclair

Lebih 30,000 pengikut ucap takziah di IG Ashraf

KUALA LUMPUR: Akaun Instagram (IG) Allayarham Ashraf Sinclair dihujani lebih 30,000 ucapan takziah daripada pengikut termasuk selebriti Malaysia dan Indonesia, sejak pagi tadi.

Rata-rata peminat dan pengikut Ashraf terkejut dengan pemergian mengejut aktor berusia 41 tahun itu lalu berkongsi perasaan sedih di IG.

Antara selebriti tempatan yang mengucapkan takziah kepada keluarga arwah terutama isteri, Bunga Cinta Lestari adalah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ning Baizura, Neelofa, Emma Maembong, Baim Wong, Nora Danish, Sandra Dewi, Farah Nabilah, Yasmin Hani dan ramai lagi.

Dalam ucapannya, Siti turut menyatakan rasa duka dengan pemergian Ashraf.

Pelakon popular Baim Wong terkejut dan sukar menerima berita pemergian sahabatnya itu.

Baim meluahkan:

“Inalillahiwainaillahirojiun. Sahabat gua, semoga semua amal ibadatnya diterima. Semua dosanya dihapuskan. Bingung sama beritanya, belum percaya.”

Pelakon dan pengacara Neelofa mendoakan semoga Ashraf ditempatkan dalam syurga. Nora Danish pula meminta peminat memberi sedekah al-Fatihah kepada arwah Ashraf.

Ucapan takziah juga dilayangkan pengikut dan peminat termasuk selebriti di IG milik adik Ashraf, iaitu Adam yang juga suami kepada penyanyi mencipta nama di Amerika Syarikat (AS), Yuna.

Paling menarik perhatian adalan entri memaparkan foto Adam dan abangnya itu, yang dimuat naik enam hari lalu.

Entri dengan keterangan ringkas ‘bruhmigo’ atau bermaksud ‘abang dan sahabat’ menyentuh emosi pengikut Adam.

Adam difahamkan sedang dalam penerbangan ke Jakarta bersama Yuna untuk memberi penghormatan terakhir kepada arwah abangnya.

Sementara itu, semakan BH Online mendapati jumlah pengikut IG Ashraf meningkat daripada 700,000 kepada sejuta orang sejak berita pemergiannya hangat diperkatakan.

Berita Harian X