Khamis, 20 Februari 2020 | 11:00am
Afgan berkongsi foto kenangan bersama arwah dan BCL di Instagram. Foto IG Afgansyah Reza
Afgan berkongsi foto kenangan bersama arwah dan BCL di Instagram. Foto IG Afgansyah Reza

Bunga Citra Lestari belum tidur

KUALA LUMPUR: Penyanyi Afgan mendakwa isteri Allahyarham Ashraf Sinclair, Bunga Citra Lestari (BCL) belum tidur sejak pemergian suaminya itu, Selasa lalu.

Afgan atau nama penuhnya, Afgansyah Reza berkongsi maklumat itu selepas menghadiri majlis tahlil arwah Ashraf di kediaman keluarga itu di Pejaten Barat, Jakarta Barat, malam tadi, lapor KOMPAS.com.

“Dia (BCL) beritahu badannya penat, belum tidur,” kata Afgan.

Majlis tahlil yang berlangsung secara tertutup itu dihadiri ramai selebriti terkenal. Selain Afgan, artis yang datang memberi sokongan kepada BCL adalah Ari Lasso, Marcell, Judika dan ramai lagi.

Afgan bagaimanapun memberitahu, keadaan BCL semakin baik.

“Tadi BCL tampak lebih baik, sudah boleh berbual. Harap ada doktor yang boleh memantau kesihatannya,” katanya.

Afgan menambah, anak pasangan itu, Noah Aidan Sinclair,juga baik dan sedikit ceria.

“Noah juga bertambah baik, sudah mula berbual. Ramai tetamu membawa anak kecil mereka bersama untuk menemani Noah bermain,” katanya.

Sementara itu, melalui coretan pada Instagram, Afgan memberitahu, dia bertemu arwah Ashraf, dua minggu lalu.

“Saya tidak percaya berita yang didengar. Saya baru bertemu arwah dua minggu lalu. Pertemuan yang sepatutnya sekejap, menjadi berjam-jam lamanya.

“Kami berbincang mengenai mimpi dan perancangan masa hadapan. Kamu lelaki yang hebat!’ katanya.

Selasa lalu, dunia hiburan dikejutkan dengan berita pemergian Allahyarham Ashraf di Rumah Sakit Metropolitan Medical Centre (MMC), di Kuningan, Jakarta, pada jam 4.51 pagi waktu tempatan atau 5.51 pagi waktu Malaysia. - AGENSI

Berita Harian X