Selasa, 31 March 2020 | 2:03pm
Pengarah, Mamat Khalid berpendapat ada segelintir netizen menyimpan hasad dengki dengan kejayaan artis. NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman
Pengarah, Mamat Khalid berpendapat ada segelintir netizen menyimpan hasad dengki dengan kejayaan artis. NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

'Artis kena kecam bagai nak kiamat'

KUALA LUMPUR: Sebagai artis berpangkat abang, pengarah, Mamat Khalid bersimpati nasib segelintir selebriti muda yang dikecam netizen tanpa timbang rasa, hanya kerana menyuarakan pendapat mengenai kesukaran hidup penggiat seni.

Ia diluahkan pengarah filem Rock itu menerusi laman Instagram (IG), semalam. Ini disebabkan kekecohan yang berlaku berikutan beberapa artis popular mengusulkan bantuan khusus kepada penggiat seni yang terjejas akibat arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penularan wabak COVID-19.

“Kasihan tengok adik kena kecam bagai nak kiamat sebab nak menyuarakan pertolongan kepada mereka yang tiada upaya melawan kekangan waktu darurat ini.

“Niat baik disalahertikan hanya kerana tidak mahu membaca cerita penuh sesebuah artikel. Hingga gaya kehidupan awak diriuhkan pula.

“Apa yang dapat dipelajari, betapa manusia menyimpan hasad menebal dengan kejayaan artis. Komen mereka membuatkan kita sedar siapa diri mereka sebenarnya.

“Awak ‘nothing’ dalam kehidupan mereka. Sampai cakap tak kenal, tak lawak, suara sumbang dan ada yang mengaku tak pernah tengok rancangan hiburan kerana peka dengan siaran luar negara,” luahnya.

Pengarah filem pecah panggung, Hantu Kak Limah itu menempelak tindakan segelintir selebriti yang suka menunjuk gaya hidup mewah dan barang berjenama hingga jadi pertikaian netizen.

Akuinya, tindakan itu hanya akan memakan diri, apatah lagi netizen memberi perhatian terhadap perkongsian artis.

“Awak pun satu tayang semuanya di media sosial dengan ungkapan bukan riak, sekadar berkongsi. Kongsi apa? Boleh mereka pinjam kereta yang hadiah pada emak itu ke? Buat amal pun digalakkan berahsia, inikan pula kerja membeli kasut atau beg tangan mewah.

“Sekarang kita sedar, netizen perhatikan gaya hidup kita dan bukan semuanya menerima gaya awak. Malah, menimbulkan rasa gusar dipendam. Sekali peluang terbit, terbenam awak dengan hakikat rasa resah hati mereka yang berbisa.

“Abang okay saja sebab mula faham nikmat media sosial ini. Nikmat jahanam,” tulisnya lagi.

Berita Harian X