Jumaat, 3 April 2020 | 11:00am
Feeya Iskandar bantu suami menerima tempahan makanan untuk diagihkan kepada petugas barisan hadapan. - Foto Feeya Iskandar
Feeya Iskandar bantu suami menerima tempahan makanan untuk diagihkan kepada petugas barisan hadapan. - Foto Feeya Iskandar

Terima tempahan makanan untuk sedekah

KUALA LUMPUR: Biarpun perniagaan katering suami terjejas, penyampai radio Suria FM, Feeya Iskandar terharu apabila ramai menempah pelbagai menu untuk disumbangkan kepada petugas barisan hadapan, gelandagan dan mereka yang memerlukan.

Feeya atau lebih mesra disapa Cik Piah berkata, suaminya, Nurashid Abd Wahab memikul tanggungjawab murni bagi membantu petugas barisan hadapan yang sedang melaksanakan tugas menyelamat mangsa virus COVID-19.

Feeya berkata, dia percaya setiap orang mempunyai peranan masing-masing.

“Jujurnya, saya sayu hati melihat perniagaan katering suami terjejas berikutan banyak majlis perkahwinan dan acara dibatalkan.

“Bagaimanapun, suami bangkit dengan idea membuka ruang kepada masyarakat menghulurkan bantuan makanan kepada mereka yang memerlukan dengan harga kasih sayang.

“Apa sahaja menu, masakan Melayu dan barat, suami akan sediakan. Ada yang tempah makanan untuk melakukan amal jariah bagi disumbangkan kepada petugas barisan hadapan, anak yatim, gelandangan, ibu tunggal dan fakir miskin,” katanya kepada BH Online.

Ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, ada kalangan sektor yang masih bekerja turut mengambil peluang menempah makanan.

“Ada majikan yang baik hati dan membelanja pekerjanya makan. Inilah sikap terpuji ketika negara berdepan dengan musibah penularan virus COVID-19,” katanya.

Feeya berkata, dia membantu suaminya membungkus makanan yang ditempah.

“Saya tolong bungkus makanan, dapatlah bantu apa yang termampu. Kalau tempahan sedekah, dapat juga pahala,” katanya.

Feeya berkata, dia berharap rakyat Malaysia bersikap rasional dalam keadaan genting ini.

“Saya ada membaca apabila ujian datang, ada yang terkesan dalam soal emosi dan kesihatan hingga depresi.

“Pilihan yang adalah untuk kita kuat. Terus memanjangkan doa kepada Allah SWT supaya COVID-19 berlalu pergi. Dan semuanya akan kembali kepada kehidupan sediakala,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X