Selasa, 7 April 2020 | 4:22pm
Nizam Laksamana menjalani ujian saringan COVID-19 selepas bapa mentuanya disahkan positif. - Foto Instagram Nizam Laksamana
Nizam Laksamana menjalani ujian saringan COVID-19 selepas bapa mentuanya disahkan positif. - Foto Instagram Nizam Laksamana

Menitis air mata negatif COVID-19

KUALA LUMPUR: Hanya Tuhan sahaja mengetahui perasaan gundah gulana penyanyi, Nizam Laksamana ketika menantikan keputusan ujian COVID-19.

Pengalun lagu Gugurnya Bunga Cinta itu bersama isteri dan dua anak perempuannya menjalani ujian saringan COVID-19 pada 31 Mac lalu berikutan bapa mentuanya disahkan positif virus berbahaya berkenaan.

Namun, Nizam menerima keputusan baik apabila dia dan keluarganya negatif COVID-19, pagi tadi.

“Keresahan hati hilang serta merta apabila menerima mesej daripada pejabat kesihatan memaklumkan saya, isteri dan dua anak bebas jangkitan COVID-19.

“Saya menjerit sambil memanggil isteri dan anak-anak ketika memberitahu mereka berita baik ini.

“Air mata gugur juga kerana terlalu gembira. Pastinya, saya mahu dijauhi jangkitan virus berbahaya ini pada saat negara diuji dengan penularan COVID-19.

“Saya isteri dan anak-anak berpelukan dan lega. Ini kerana kami satu keluarga tidak keruan dan risau sejak menjalani ujian saringan COVID-19,” katanya kepada BH Online.

Kata Nizam, isterinya paling risau selama menunggu keputusan ujian.

“Kami sekeluarga buat sujud syukur. Isteri tak selera makan sebelum menerima keputusan ujian,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X