Selasa, 7 April 2020 | 7:47pm
Wajah baharu WHI, Fatin Hamimah (kanan) bersama Sugeeta dan Hazrena Kassim. - Foto Wanita Hari Ini
Wajah baharu WHI, Fatin Hamimah (kanan) bersama Sugeeta dan Hazrena Kassim. - Foto Wanita Hari Ini

Penonton WHI 800,000 setiap hari

KUALA LUMPUR: Program bual bicara, Wanita Hari Ini (WHI) mencatat peningkatan jumlah penonton sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasa pada 18 Mac lalu.

Sebelum ini, program yang bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat itu mencatat jumlah penonton 500,000 sehari.

Bagaimanapun sejak PKP dilaksanakan, jumlah meningkat hingga 800,000 penonton sehari.

Penerbit Eksekutif WHI, Siti Hatijah Yusof tidak menafikan pelaksanaan PKP antara faktor penyumbang kepada peningkatan jumlah penonton berikutan tindakan kerajaan yang melarang masyarakat keluar jika tiada urusan penting.

“Peningkatan hampir 300,000 penonton setiap hari tidak pernah dijangkakan. Mengambil kira faktor keadaan semasa, ia tidak mustahil apabila ramai kini bekerja dari rumah.

“Ia perkembangan baik buat sesebuah program bual bicara. Ini berikutan bukan mudah WHI bertahan lama dan mampu mencatat jumlah penonton yang tinggi.

“Bagaimanapun, kami mengharapkan jumlah tontonan WHI akan meningkat lebih tinggi lagi,” katanya kepada BH Online.

Hatijah berkata, misi memperkenalkan wajah pengacara baharu, Hawa Rizwana Redzuan dan Fatin Hamimah tercapai.

“Kami merancang memperkenalkan pengacara baharu selepas COVID-19 berakhir. Bagaimanapun, inilah waktu yang tepat berbuat demikian apabila peningkatan pada jumlah penonton.

“Selain Hawa Rizwana dan Fatin Hamimah, program yang diperkenalkan sejak 1 Januari 2001 itu masih mengekalkan hos lama, Fiza Sabjahan, Hazrena Kassim, Fahrin Ahmad, Sugeeta dan Uyaina Arshad,” katanya.

Katanya, pemilihan wajah baharu program majalah wanita itu bukan mahu menyingkirkan pengacara sedia ada. Sebaliknya, ia selari dengan pelaksanaan program yang mahu menampilkan ramai pengacara sejak diperkenalkan hampir 20 tahun lalu.

“Kami memilih Hawa Rizwana bagi mewakili golongan 20-an dan Fatin Hamimah pula kategori 30-an. Tujuan kami menambah pengacara sempena wajah baharu WHI.

“Setiap tahun, kami WHI cuba menampilkan pembaharuan dan kelainan terhadap program ini. Kami memperkenalkan WHI Sana Sini yang bersiaran di lokasi luar sebagai usaha mendekati masyarakat.

“Kami sudah memulakan siaran pada Januari dan Februari. Bagaimanapun, ia terpaksa ditangguhkan berikutan penularan virus COVID-19,” katanya.

Hatijah berkata, dengan adanya pertambahan pengacara, ia akan memudahkan pasukan WHI bersiaran.

“Jika Fiza dan Hazrena bersiaran di luar, ia akan menyukarkan mereka untuk bergegas pulang memandangkan mereka juga bertindak selaku penerbit,” katanya.

WHI menemui penonton pada setiap Isnin hingga Sabtu bermula jam 12 tengah hari di TV3.

Berita Harian X