Khamis, 9 April 2020 | 3:17pm
Glenn sempat mengambil inisiatif mengumpul dana bagi membantu rakyat yang terkesan dengan COVID-19. Foto IG Glenn Fredly
Glenn sempat mengambil inisiatif mengumpul dana bagi membantu rakyat yang terkesan dengan COVID-19. Foto IG Glenn Fredly

COVID-19 : Glenn sempat tubuh dana bantu rakyat

JAKARTA: Penyanyi Glenn Fredly sempat menggerakkan misi mengutip dana bagi membantu rakyat menghadapi detik sukar akibat penularan COVID-19.

Memetik KOMPAS.com, kutipan bagi dana itu mula dilancarkan sejak 24 Mac lalu berdasarkan maklumat daripada Kitabisa.com, dengan sumbangan lebih RM2,000 sudah terkumpul.

Mengikut laporan, hasil kutipan dana akan diagihkan kepada masyarakat yang memerlukan termasuk mereka yang beroleh pendapatan harian dan bekerja dalam sektor informal.

Lapor agensi, dana itu akan dibuka sehingga 16 April ini.

Difahamkan, dana dikutip akan digunakan bagi memberi barangan keperluan harian, topeng muka, cecair pembasmi kuman, sarung tangan dan alat perlindungan lain.

Sementara itu, adik perempuan Glenn dikenali sebagai Uci memberitahu KOMPAS.com, kesihatan penyanyi Januari itu merosot sejak beberapa hari lalu.

“Prestasinya menurun beberapa hari terakhir ini. Jadi prosesnya, masuk hospital, Isnin lalu dan ditempatkan di wad biasa. Keesokannya, prestasinya semakin menurun dan ditempatkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Akhirnya pada jam 6.47 petang waktu tempatan (7.47 malam waktu Malaysia), abang kami, suami Ayu, bapa Gewa, beristirehat dengan tenang dipanggil Tuhan untuk kembali ke pangkuanNya di syurga,” katanya ditemui di Rumah Duka Heaven Dharmais, Jakarta.

Sambil menahan sebak, Uci mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menziarahi abangnya, terutama penggiat seni.

Semalam, dunia hiburan dikejutkan apabila Glenn atau nama penuhnya, Glenn Fredly Deviano Latuihamallo, meninggal dunia di Rumah Sakit Setia Mitra, Cilandak, Jakarta Selatan, akibat meningitis. - AGENSI

Berita Harian X