Sabtu, 23 Mei 2020 | 5:30pm
Ada syarikat produksi masih skeptikal apakah SOP yang ditetapkan kerajaan mampu dipatuhi pelakon dan kru, selain bimbang rantaian COVID-19 masih belum diputuskan. Gambar Hiasan
Ada syarikat produksi masih skeptikal apakah SOP yang ditetapkan kerajaan mampu dipatuhi pelakon dan kru, selain bimbang rantaian COVID-19 masih belum diputuskan. Gambar Hiasan

SOP penggambaran: Penerbit enggan ambil risiko

KUALA LUMPUR: Pengarah drama Nur, Shahrulezad Mohameddin memberi amaran kepada pelakon dan kru produksinya, Radius One Sdn Bhd agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) apabila kembali ke set penggambaran.

Shahrulezad tidak teragak-agak untuk menyingkirkan mana-mana pelakon dan kru yang ingkar SOP.

"Seperti yang kita sedia maklum, kerajaan bersetuju membenarkan produksi menyambung penggambaran, bulan depan.

"Alhamdulillah, saya bersyukur akhirnya kerajaan mendengar keluh-kesah kami yang berharap dapat kembali ke set penggambaran demi mencari rezeki.

"Selama ini, ramai yang meluahkan rasa bimbang apabila mata pencarian terjejas ekoran perintah kerajaan yang mahu aktiviti penggambaran dihentikan.

"Justeru, apabila kerajaan memberi kelonggaran, kita kenalah patuh kepada arahan.

"Kalau saya dapat tahu ada pelakon atau kru yang melanggar peraturan, saya akan buang mereka dan ganti dengan orang lain. Saya tak mahu ambil risiko atas kecuaian diri mereka sendiri," katanya kepada BH Online.

Ditanya apakah syarikat produksi mampu memberi jaminan patuh kepada SOP, Shahrulezad berkata, perkara itu hanya dapat dipastikan apabila mereka memulakan penggambaran.

"Produksi sebenarnya berdepan dengan cabaran besar apabila memperkatakan mengenai isu SOP ini.

"Arahan supaya tidak lebih daripada 20 orang terbabit dalam penggambaran sudah menjadi menjadi sesuatu yang agak mustahil untuk kami laksanakan.

"Kalau kita tengok di beberapa lokasi, walaupun sudah diarah supaya patuh penjarakan sosial, namun masih ada juga yang tidak mengendahkannya.

"Malah, dalam pada berjaga-jaga pun, ada juga yang tidak bernasib baik dijangkiti COVID-19.

"Apapun, kita kena tunggu selepas penggambaran bermula untuk kita lihat cara terbaik mengamalkan prosedur ditetapkan.

"Jika berdasarkan teori tanpa dipraktikkan, susah juga," katanya yang masih mempunyai dua drama bersiri yang tertangguh penggambaran.

Sementara itu, Penerbit Pena Creative Pictures, Datuk Ziela Jalil berkata, pihaknya belum bersedia untuk bekerja walaupun kerajaan memberi kebenaran bersyarat.

Ziela berkata, dia tidak mahu akibat terlalu mementingkan diri sendiri, nyawa insan yang tidak berdosa tergadai.

"Buat masa saya tiada keinginan untuk menyambung penggambaran.

"Jujurnya, saya sendiri masih risau dengan keadaan sekarang di mana wabak belum pulih sepenuhnya.

"Sejauh mana arahan pematuhan SOP ini boleh dilaksanakan dan bagaimana mereka boleh yakin virus itu tidak akan tersebar? Saya tak mahu dek kerana terlalu mementingkan kerja, nyawa orang lain tergadai.

"Saya mungkin boleh bekerja dari rumah dan tak perlu datang ke set. Tapi bagaimana pula dengan nasib pelakon dan kru di bawah produksi saya?

"Saya tak mahu mereka menanggung risiko untuk dijangkiti virus COVID-19," katanya.

Rabu lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan bersetuju membenarkan aktiviti penggambaran dilakukan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Bagaimanapun, syarikat produksi perlu mematuhi SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X