Isnin, 8 Jun 2020 | 11:00am
Ahmad Idham mahu meninjau pelaksanaan SOP dalam penggambaran selepas kerajaan membenarkan syarikat produksi beroperasi semula. NSTP/Aswadi Alias
Ahmad Idham mahu meninjau pelaksanaan SOP dalam penggambaran selepas kerajaan membenarkan syarikat produksi beroperasi semula. NSTP/Aswadi Alias

'Buang benda negatif'

KUALA LUMPUR: Kembali menduduki kerusi Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Ahmad Idham Ahmad Nadzri mahu memberi perhatian kepada usaha menggerakkan industri perfileman yang terjejas teruk akibat COVID-19.

Melihat kesuraman melanda industri perfileman dan sinematik sejak tiga bulan lalu, hati Ahmad Idham, 46, meronta-ronta untuk membantu.

Namun, ketika itu, akur diri tidak berupaya, pengarah filem pecah panggung, Adnan Sempit dan Jangan Pandang Belakang Congkak ini hanya mampu melihat apa yang berlaku dengan rasa sedih.

Justeru, apabila dilantik semula menerajui FINAS, hanya rasa syukur dipanjatkan kerana peluang untuk berbakti kepada teman seperjuangan menjadi kenyataan.

"Esok (Selasa) saya akan masuk pejabat. Saya pasti banyak tugasan yang menanti untuk diselesaikan.

"Cabaran terbesar saya adalah untuk memajukan semula industri perfileman dan sinematik yang terbantut berikutan pandemik itu.

"Disebabkan kerajaan sudah memberi kebenaran untuk produksi meneruskan penggambaran selepas ditangguhkan atas arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya kena lihat bagaimana prosedur operasi standard (SOP) yang digunakan.

"Selain itu, saya juga perlu mencari jalan penyelesaian soal pengedaran dan isu membabitkan pemamer iaitu pawagam.

"Kita tahu banyak filem menanti untuk ditayang dan pawagam pula ditutup. Isu inilah yang akan kita cuba selesaikan secepat mungkin supaya industri perfileman kita boleh kembali bernafas," katanya kepada BH Online.

Mengenai pelantikannya, Ahmad Idham mengaku terkejut sebaik dimaklumkan beliau kembali ke FINAS.

Sebaik berita itu sampai kepada pengetahuannya, Ahmad Idham mengaku tergamam kerana tidak menyangka jodoh dengan FINAS masih panjang.

Enggan mempedulikan cakap-cakap nakal, Ahmad Idham menyifatkan perkara itu sebagai suatu pengiktirafan dan penghargaan terhadap hasil kerjanya.

"Saya bukanlah suka pukul canang mengenai kejayaan yang pernah saya capai. Sebaliknya, biarlah hasil kerja kita itu yang membuktikan segala-galanya.

"Saya lihat perlantikan ini sebagai penghargaan daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia terhadap usaha saya selama in.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah atas kepercayaan yang diberi.

"Insya-Allah saya akan laksanakan amanah yang diberi sebaik mungkin," katanya.

Sebelum ini, Ahmad Idham dilantik sebagai CEO FINAS bagi tempoh dua tahun berkuakuasa 11 Mac 2019.

Namun, pada 10 Mac lalu, Ahmad Idham membuat kejutan apabila memutuskan untuk memendekkan tempoh perkhidmatan atas alasan peribadi.

Tidak mahu membuang masa, Ahmad Idham memberitahu, beliau juga akan menilai semula dasar industri kreatif sebagai usaha memajukan lagi industri berkenaan.

"FINAS akan menyemak kembali dasar dan polisi yang sedia untuk diselaraskan dengan hala tuju yang pernah dinyatakan menteri.

"Selain itu, saya akan mengupas satu persatu hala tuju yang dibuat menteri dalam kenyataannya sebelum ini.

"Amat penting untuk kita mencapai kata sepakat supaya FINAS terus dengan landasannya untuk menjadi payung kepada penggiat seni tercapai," katanya.

Mengulas tindakannya memendekkan tempoh perkhidmatan sehingga mencetuskan pelbagai spekulasi, Ahmad Idham lebih selesa tidak membicarakan perkara itu.

"Apa yang sudah berlaku, biarkanlah ia berlaku.

"Rasanya tak perlulah saya kongsi kepada umum. Fokus saya sekarang ini adalah untuk menggerakkan kembali industri supaya kita dapat menjana ekonomi.

"Ramai yang hilang pekerjaan dan menjadi tanggungajwab saya untuk menjaga kebajikan mereka.

"Saya percaya, dengan sokongan Saifuddin dan ahli perbadanan lain, FINAS mampu melakukannya.

"Ketepikan semua perkara negatif yang tidak membawa kita ke mana-mana. Marilah kita bersama-sama berganding bahu untuk membangunkan semula industri ini," katanya.

Berita Harian X