Ahad, 14 Jun 2020 | 8:30am
Kembali menerajui FINAS, Ahmad Idham mengaku cabaran kali ini lebih hebat ketika dunia berdepan pandemik COVID-19. Foto IG Ahmad Idham Ahmad Nadzri
Kembali menerajui FINAS, Ahmad Idham mengaku cabaran kali ini lebih hebat ketika dunia berdepan pandemik COVID-19. Foto IG Ahmad Idham Ahmad Nadzri

Jom kongsi idea dengan FINAS

KUALA LUMPUR: Kembali ke kerusi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Ahmad Idham Ahmad Nadzri mengaku tanggungjawab kali ini lebih mencabar ketika dunia berdepan pandemik COVID-19.

Memulakan tugas Selasa lalu, Ahmad Idham memberitahu, cabaran sekarang adalah bagaimana hendak memastikan sektor seni termasuk perfileman kembali kepada trek asal.

"Orang luar, pemerhati dan anak seni hendak tahu bagaimana FINAS boleh menghidupkan semula sektor seni.

"Contohnya, memulakan kerja penggambaran tertunda dengan amalan normal baharu dan prosedur operasi standard (SOP).

"Dengan apa yang terjadi, kita semua perlu bekerja semula mencari rezeki. Semua orang hendak meneruskan kelangsungan hidup," katanya kepada BH Online.

Sebelum ini, BH Online melaporkan, belum tiga bulan menamatkan khidmat sebagai CEO FINAS, Ahmad Idham dilantik semula menyandang kerusi berkenaan berkuat kuasa, 5 Jun lalu.

FINAS menerusi kenyataan media mengesahkan perlantikan semula Ahmad Idham sebagai CEO baharu. Sebelum ini, kerusi yang ditinggalkan Ahmad Idham masih belum terisi hingga beliau dilantik semula.

Pada 10 Mac lalu, pengarah filem box-office, Adnan Sempit dan Jangan Pandang Belakang Congkak itu mengakhiri tugasan sebagai CEO selepas memilih menamatkan kontrak lebih awal.

Ahmad Idham mengaku bukan mudah untuk pihak yang menerima impak penularan COVID-19 bangkit semula menyesuaikan diri.

"Lihat saja di luar negara, ada yang masih berterabur dan bergelut. Apatah lagi negara kita sendiri.

"Namun, apa yang pasti, kita mahu industri seni kembali bernyawa. Kita mahu merangsang semua orang untuk mula bekerja selepas terputus rezeki," katanya.

Ahmad Idham berkata, tekanan wujud dalam semua jenis pekerjaan.

"Misalnya, sebelum ini, ketika bersama FINAS, ada kalanya tekanan yang datang tidak perlu pun," katanya.

Ahmad Idham berkata, dia mahu terus 'pasang' telinga dan terbuka dalam pelbagai perkara sepanjang berkhidmat.

"Saya kena lebih banyak 'pasang' telinga dan terus terbuka. Tidak perlu wujud pihak hendak cakap itu dan ini di media sosial.

"Siapa ada cadangan dan idea, kita alu-alukan. Jemput datang ke FINAS untuk persembahkan input. Jangan cakap sahaja atau 'melalak' di laman sosial.

"Kalau ada idea yang bagus, kita boleh pertimbangkan untuk tindakan seterusnya," katanya.

Berita Harian X