Ahad, 2 Ogos 2020 | 11:00am
Alam Wakaka memilih pengurus pemasaran kosmetik, Nurul Alisya Najwa Hazman sebagai jodoh. - Foto Alam Wakaka
Alam Wakaka memilih pengurus pemasaran kosmetik, Nurul Alisya Najwa Hazman sebagai jodoh. - Foto Alam Wakaka

Alam Wakaka bertunang

KUALA LUMPUR: Penari dan pelakon, Alam Wakaka, 34, selamat melangsungkan pertunangan dengan Nurul Alisya Najwa Hazman, 19, di Segamat, Johor, semalam.

Majlis serba ringkas, tetapi meriah berlangsung di kediaman keluarga tunangnya dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pada fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKBB) ini.

"Insya-Allah, kami bertunang dalam tempoh enam bulan. Jika tiada aral melintang, majlis pernikahan akan berlangsung pada Mac tahun depan.

"Keluarga tidak mahu kami mengikat pertunangan terlalu lama," katanya kepada BH Online.

Alam Wakaka dan Nurul Alisya Najwa Hazman bertunang dalam tempoh enam bulan, dijangka nikah pada Mac tahun depan. - Foto Alam Wakaka
Alam Wakaka dan Nurul Alisya Najwa Hazman bertunang dalam tempoh enam bulan, dijangka nikah pada Mac tahun depan. - Foto Alam Wakaka

Alam berkata, dia mengenali tunangnya sekitar tiga tahun lalu.

"Tunang saya bekerja sebagai Pengurus Pemasaran sebuah jenama kosmetik.

"Saya harap segala-galanya dipermudahkan. Moga hari menuju kebahagiaan bersama bakal isteri diberkati," katanya.

Pada majlis pertunangan, keluarga Alam menyerahkan lima hantaran berbalas tujuh daripada tunangnya. Alam menyerahkan cincin, sejadah, telekung, manisan, buah-buahan dan sirih junjung. Manakala, sebelah pihak tunang pula membalas barangan seperti senaskah al-Quran, kek, kuih, coklat, sejadah dan set barangan kulit.

Alam atau nama sebenarnya, Haslam Abdul Rahman pernah menjuarai program realiti tarian, So You Think You Can Dance musim pertama pada 2009. Alam juga pernah membintangi filem Sayang You Can Dance dan drama realiti, Alam's Story tujuh tahun lalu.

Berita Harian X