Jumaat, 7 Ogos 2020 | 6:31pm
Dua trofi anugerah yang digenggam Izuan Fitri membuatkannya lebih sukar menerima tawaran lakonan. - NSTP/Rohanis Shukri
Dua trofi anugerah yang digenggam Izuan Fitri membuatkannya lebih sukar menerima tawaran lakonan. - NSTP/Rohanis Shukri

Bayar RM300 untuk watak utama?

KUALA LUMPUR: Kesal kebanyakan penggiat seni lebih mengutamakan populariti berbanding bakat, pelakon, Izuan Fitri, 18, hanya ditawarkan bayaran serendah RM300 untuk sehari. Lebih mengecewakan, bayaran yang diberikan untuk watak utama.

Pelakon yang pernah memenangi dua anugerah iaitu Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Anugerah Skrin (ASK) TV3 pada 2015 dan Pelakon Kanak-kanak TV Terbaik, Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2016 berkongsi luahan ketika hadir sesi fotografi filem Butak di Balai Berita, Bangsar, baru-baru ini.

Izuan mula melangkah ke dunia lakonan seawal usia enam tahun berkata, dia terkilan dilayan seolah-olah seperti pelakon tiada kualiti, sedangkan sudah membuktikan kemampuan.

"Perkara ini tidak adil buat pelakon seperti saya. Saya lihat ramai netizen mengecam tindakan ini, tetapi produksi tidak mengambil kisah.

"Mereka lebih mementingkan rating. Disebabkan itu, mereka mengutamakan pelakon yang memiliki jumlah pengikut yang ramai supaya naskhah menjadi trending.

"Dalam soal ini, netizen tidak bersalah. Salahnya apabila industri kita mencorakkan kandungan hiburan seperti ini. Seharusnya mereka mementingkan kandungan berkualiti. Lama kelamaan kandungan sedemikian mempengaruhi minda penonton sebab anak muda banyak menonton televisyen," katanya kepada BH Online.

Izuan Fitri terkilan dilayan seperti pelakon tiada kualiti, sedangkan sudah membuktikan kemampuan dengan memenangi dua trofi anugerah. - NSTP/Rohanis Shukri
Izuan Fitri terkilan dilayan seperti pelakon tiada kualiti, sedangkan sudah membuktikan kemampuan dengan memenangi dua trofi anugerah. - NSTP/Rohanis Shukri

Tambah Izuan, dia sepatutnya diberikan lebih kepercayaan memandangkan pernah diberikan pengiktirafan, tetapi sebaliknya yang berlaku.

Akuinya, dua anugerah yang digenggam sebaliknya membuatkannya lebih sukar menerima tawaran lakonan.

"Orang anggap apabila kita sudah menerima anugerah, bayaran akan lebih mahal. Jujurnya, tidak, bayaran tetap sama. Itu yang membuatkan saya terkilan. Tak mengapalah jika tiada tawaran terpaksalah saya memikirkan mencari pekerjaan tetap," katanya.

Dalam perkembangan lain, Izuan akan tampil dengan filem Butak arahan Sabri Yunus. Menerusi filem itu, Fitri diberi kepercayaan menghidupkan watak utama.

"Awalnya, saya terkejut diberikan tawaran menjayakan watak utama dan mencuba watak baharu. Saya tidak meletakkan harapan selepas menghadiri uji bakat. Saya sekadar mahu mencuba nasib dan teringin mahu bekerjasama dengan Sabri.

"Terima kasih Sabri, mempercayai bakat saya boleh membawakan watak Butak, meskipun saya bukanlah pelakon yang mempunyai paras rupa.

"Saya harap filem Butak dapat menarik penonton kerana ia adalah filem berbeza," katanya yang pernah membintangi filem One Two Jaga dan Munafik.

Selain Izuan, pelakon lain yang turut membintangi filem terbitan Two Tones Sdn Bhd termasuklah Fimie Don, Melly Amalin, Khatijah Tan, Kazar Saisi dan ramai lagi.

Ia berkisarkan mengenai Butak, kanak-kanak yang nakal, tetapi cerdik. Bagaimanapun, tayangannya dijadualkan pada penghujung bulan ini terpaksa ditangguhkan ekoran pandemik COVID-19.

Berita Harian X