Sabtu, 8 Ogos 2020 | 8:30am
Neelofa menjadi selebriti berhijab pertama mewakili jenama antarabangsa di peringkat Asia Tenggara.
Neelofa menjadi selebriti berhijab pertama mewakili jenama antarabangsa di peringkat Asia Tenggara.

Neelofa pecah tradisi

KUALA LUMPUR: Terus memberi inspirasi, selebriti popular, Neelofa dilantik sebagai duta rantau Asia Tenggara pertama bagi jenama produk kecantikan dari Perancis, Lancome.

Secara tidak langsung, pelantikan pelakon, pengacara dan usahawan itu menjadikannya sebagai rakyat Malaysia pertama mewakili jenama berusia 85 tahun itu di peringkat Asia Tenggara.

Neelofa berkata, dia gembira dapat mengangkat imej wanita muslim berhijab.

"Memecahkan tradisi bukanlah perkara mudah. Apabila menjadi orang pertama dalam sesuatu, orang akan memberi pandangan dari segi pujian dan kecaman berbeza. Tetapi, perkara menarik adalah perasaan teruja yang dilalui.

"Menjadi wanita berhijab pertama mewakili rantau Asia Tenggara bukan sahaja membuatkan saya bangga sebagai rakyat Malaysia, malah orang Islam.

"Ini kerana untuk produk antarabangsa memandang wanita hijab mewakili jenama mereka di peringkat Asia Tenggara sukar dijangka. Ia bermakna mereka memberi perhatian kepada pasaran orang Muslim," katanya kepada BH Online.

Neelofa bersama ibunya, Datin Noor Kartini Noor Mohamed pada majlis pengumumannya sebagai duta.
Neelofa bersama ibunya, Datin Noor Kartini Noor Mohamed pada majlis pengumumannya sebagai duta.

Tidak menyangka 2020 memberikan banyak kejutan, Neelofa berkata, perlantikan itu berjaya membuatkannya mengalirkan air mata.

"Saya dapat berita ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu. Wakil jenama datang ke rumah. Saya menangis terharu dengan pelantikan ini. Sebelum ini, kita tahu wajah wanita berhijab Asia Tenggara tidak pernah dipandang.

"Wakil jenama berkenaan terharu kerana selebriti Malaysia dipilih menjadi duta untuk rantau Asia Tenggara. Sudah tentu, ia suatu perkara yang besar.

"Jujurnya, saya tercengang, bertanya sama ada pemilihan ini sudah muktamad atau sebaliknya," katanya yang mengalirkan air mata ketika memberikan ucapan pada majlis pengumuman sebagai duta Lancome, semalam.

Neelofa tidak menafikan pelantikannya cukup menyentuh hati.

Katanya, pemilihannya boleh dianggap satu kejayaan buat Malaysia kerana selama ini, wajah produk antarabangsa itu sering ditawarkan kepada selebriti dari Korea Selatan atau Jepun.

"Kita boleh lihat banyak wajah dari Korea Selatan dan Jepun melakukan kempen bersama jenama ini. Jadi, saya bersyukur pelantikan ini sebagai satu tanda aras pembabitan selebriti berhijab seterusnya.

"Ia adalah perkara baharu apabila selebriti berhijab terpilih.

"Saya nampak ini sebagai satu jihad apabila meletakkan nama Islam dan wanita berhijab di mata dunia. Saya berharap jalinan kerjasama ini boleh mendapat keberkatan daripada-Nya," katanya.

Neelofa berkongsi, dia akan menjadi wajah kempen Aidilfitri 2021 bukan hanya di Malaysia, malah Singapura dan Indonesia.

"Ini adalah kali pertama jenama berkenaan mengangkat festival Hari Raya. Sebelum ini, mereka ada kempen perayaan Krismas dan Tahun Baharu Cina, tetapi tidak Aidilfitri. Ini satu kebanggaan buat saya apabila jenama ini mengangkat festival orang Islam," katanya.

Selain itu, selaku penaung Pertubuhan Kasih Neelofa, pelakon drama Suri Hati Mr Pilot itu tidak menolak untuk bekerjasama dengan jenama berkenaan bagi menjalankan projek Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

"Saya pernah bertemu ketua atasan jenama ini, beberapa tahun lalu. Mereka menyuarakan hasrat melakukan projek CSR di peringkat global. Mereka berminat mahu saya terbabit dengan projek berkenaan.

"Saya terbuka apabila mereka rasa memerlukan pembabitan saya dalam projek CSR dan program amal. Saya akan memberikan 100 peratus komitmen," katanya.

Berita Harian X