Isnin, 30 Disember 2019 | 1:00pm
PESANAN Papa Pipi mencatat lebih 15 juta tontonan selepas lebih sebulan diperkenalkan. - Foto Animonsta Studios
PESANAN Papa Pipi mencatat lebih 15 juta tontonan selepas lebih sebulan diperkenalkan. - Foto Animonsta Studios

Animonsta perkenal siri animasi baharu

KUALA LUMPUR: Selepas kejayaan animasi Boboiboy, Animonsta Studios muncul dengan buah tangan terbaru, Pesanan Papa Pipi yang disiarkan menerusi medium YouTube.

Sehingga kini, siri animasi itu yang sudah bersiaran enam episod mencatat lebih 15 juta tontonan sejak menemui penonton bermula 15 November lalu.

Pengarah Urusan Animonsta Studios Sdn Bhd, Nizam Razak, berkata idea menghasilkan animasi itu tercetus selepas tayangan filem Boboiboy Movie 2 pada Ogos lalu yang mencatat kutipan melebihi RM29 juta.

Katanya, dia tidak menyangka keletah comel Pipi yang juga anak kepada Papa Zola menambat hati ramai. Melihat maklum balas luar biasa diberikan kepada karakter itu, Animonsta berasakan, ia peluang terbaik untuk mereka memperluaskan portfolio.

Tanpa menunggu lama, mereka mula menghasilkan episod pertama animasi itu pada September lalu, sebulan selepas Boboiboy Movie 2 ditayangkan.

“Pesanan Papa Pipi bukan ‘spin off’ kepada Boboiboy, sebaliknya ia adalah projek baharu yang dirangka secara serius. Setakat ini, enam episod sudah disiarkan dan masih berbaki lagi dua episod.

“Watak Pipi diperkenalkan menerusi filem Boboiboy Movie 2 dan kami tidak menyangka, ramai yang menyukai karakter itu. Kami menjangkakan Pesanan Papa Pipi mampu mencatat 20 juta tontonan pada akhir bulan ini.

“Berikutan maklum balas positif dan ramai mengakui, tidak puas kerana durasi tayangan hanya dua minit, kami akan memperkenalkan episod lebih panjang, tahun depan.

“Kami juga akan berbincang dengan stesen televisyen yang berminat untuk bekerjasama dengan Animonsta bagi menyiarkan siri itu,” katanya kepada BH Online.

ANIMONSTA turut merancang mengangkat animasi Pesanan Papa Pipi ke layar perak. - Foto Animonsta Studios
ANIMONSTA turut merancang mengangkat animasi Pesanan Papa Pipi ke layar perak. - Foto Animonsta Studios

Nizam berkata, mereka turut berhasrat memperkenalkan lagu tema untuk siri itu dan sekiranya usaha itu mendapat sambutan, ia bakal diangkat ke layar perak.

Tambahnya, berbeza Boboiboy yang berkait rapat dengan jati diri, Pesanan Papa Pipi pula lebih cenderung kepada tip penjagaan anak kecil, selain mengetengahkan konsep keibubapaan.

“Sebenarnya skrip Pesanan Papa Pipi terhasil selepas melihat keletah anak kecil di rumah. Contohnya, bagaimana ibu dan bapa terpaksa ‘berperang’ dengan anak setiap pagi untuk ke sekolah.

“Ada juga isu semasa seperti kes buli diketengahkan dalam animasi ini. Dalam setiap episod, kami akan menerapkan ilmu dan pengajaran yang dapat dimanfaatkan seisi keluarga,” katanya yang turut memperkenalkan beberapa karakter baharu seperti Nek Pi, selain guru serta rakan sekolah Pipi.

Berita Harian X