Rabu, 11 Julai 2018 | 12:35pm
SEKUMPULAN pelancong asing cacat pendengaran dan bisu bergambar beramai di Timpohon Gate bersama Malam Gunung Kinabalu sebelum memulakan pendakian. - Foto Lano Lan
RAZAK (tengah) bersama Ibnor (kiri) memberikan taklimat menggunakan isyarat kepada sekumpulan pelancong asing cacat pendengaran dan bisu sebelum memulakan pendakian, di Timpohon Gate, Kundasang. - Foto Lano Lan

Cabaran berbeza iringi pendaki pekak, bisu

RANAU: Tugas sebagai malim gunung kepada individu normal mungkin biasa, namun apabila ditugaskan menjadi pemandu arah kepada golongan pekak dan bisu, ia satu cabaran yang berbeza.

Bukan sahaja terpaksa berkomunikasi dengan bahasa isyarat, malah malim gunung perlu memastikan pergerakan mereka sentiasa boleh dilihat oleh pendaki orang kurang upaya (OKU) bagi mengelak risiko sesat, cedera ataupun maut akibat terjatuh dari tempat tinggi.

Malim Gunung Kinabalu, Mohd Asrah Muslie, 25, berkata sejak menjadi malim gunung beberapa tahun lalu, sudah dua kali dia ditugaskan untuk membawa pelancong asing yang pekak dan bisu mendaki puncak tertinggi di Malaysia itu.

Katanya, banyak yang dapat dipelajarinya, terutama menggunakan bahasa isyarat asas untuk berkomunikasi dengan kumpulan pendaki istimewa berusia lingkungan 30 hingga 65 tahun dari Taiwan, baru-baru ini.

"Pada mulanya, saya juga mengalami kesukaran untuk berkomunikasi dengan mereka, namun mengejutkan apabila mendapati mereka sebenarnya faham dan boleh membaca tulisan menggunakan bahasa Inggeris.

"Akhirnya saya dapat mempelajari bahasa isyarat menerusi tulisan itu dan ia memudahkan saya berkomunikasi dengan mereka selepas itu," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.


RAZAK (kanan) bersama Mohd Asrah (kiri) dan Ibnor (dua dari kiri) memberikan taklimat menggunakan bahasa isyarat kepada sekumpulan pelancong asing cacat pendengaran dan bisu sebelum memulakan pendakian. - Foto Lano Lan

Mohd Asrah berkata, dia dan dua lagi rakan malim gunung, Razak Salleh, 30, dan Ibnor Mohd, 28, juga terpaksa mengikut rapat kumpulan berkenaan untuk mengelak mereka terpisah daripada kumpulan sepanjang pendakian.

Katanya, sekiranya pendaki OKU itu tersasar dari laluan, mereka terpaksa mengejar dan menepuk belakang untuk memberi arahan kepada mereka.

"Komunikasi menerusi sentuhan antara kami amat penting. Sekiranya ada yang perlu disampaikan, kami perlu menepuk bahu mereka sebelum menyatakan sesuatu.

"Ekspedisi pendakian menjadi semakin menarik selepas itu. Sebaik tiba di pusat penempatan Laban Rata kira-kira jam 3 petang, kami menghabiskan masa bersama untuk memperbaiki cara komunikasi dengan mereka," katanya.

Sementara itu, bagi Razak, keadaan diri tidak sempurna ternyata bukan penghalang untuk pendaki terbabit melakukan sesuatu yang dianggap mustahil.

Katanya, melalui ekspedisi itu, dia dapat melihat keupayaan golongan OKU sama seperti insan biasa untuk mendaki gunung walaupun secara logiknya mungkin berbahaya kerana banyak komunikasi diperlukan ketika dalam pendakian.

"Cabaran paling utama untuk kami ialah kesukaran berkomunikasi dengan kumpulan pendaki itu, lebih-lebih lagi sekiranya berlaku kejadian sesat atau kecemasan lain.

"Memang kami risau kerana pernah berlaku kes pendaki sesat, apatah lagi bagi kumpulan ini yang sukar untuk berkomunikasi," katanya.

Razak berkata, apa yang mengejutkan pendaki yang terdiri daripada golongan OKU ini adalah antara kumpulan pertama yang awal berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu, manakala ada pendaki normal yang tiba lebih lewat dari mereka.

Berita Harian X