Ahad, 19 Januari 2020 | 10:21am
PENGUNJUNG boleh beriadah dengan selesa berikutan kemudahan lengkap disediakan.. NSTP/Aizuddin Saad
PENGUNJUNG boleh beriadah dengan selesa berikutan kemudahan lengkap disediakan.. NSTP/Aizuddin Saad

Kehijauan rimba di tengah kota

TIDAK perlu ke hutan belantara untuk aktiviti pendakian santai, terutama bagi mereka yang tiada masa atau mempunyai rutin kerja tidak menentu. 

Bagi yang tidak gemar memandu keluar jauh dari ibu kota, Projek Taman Tugu mungkin lokasi hujung minggu sesuai untuk mengeluarkan peluh.

Biarpun laluan denai hutan mudah seperti berjoging di taman rekreasi, peluh tetap mencurah-curah. 

Terletak di hutan bandar tidak jauh dari tempat tarikan pelancongan, Tugu Negara, di sebelah barat dayanya, turut bersempadan dengan Taman Botani Perdana dan dipisahkan Jalan Parlimen, betul-betul berdekatan bandar raya, sewajarnya menjadi pilihan sesiapa saja terutama warga kota pelbagai peringkat usia beriadah di situ. 

Lokasi ini masih diliputi kehijauan hutan dengan kedudukannya mudah dikunjungi membuktikan pembangunan Kuala Lumpur puluhan tahun ini tidak hanya dinodai dengan bangunan pencakar langit. 

Memilih cuti hujung minggu, penulis mahu merasai sendiri ketenangan beriadah dalam hutan sambil melayani terapi mata menghayati keindahan flora dan fauna dijaga sempurna. 

Sebelum memasuki hutan kecil yang dianggarkan berkelulusan hampir 16 hektar ini, (27 hektar keseluruhan termasuk Tugu Negara), penulis dan jurugambar diberi penerangan mengenai keluasannya.

Kawasan ini meliputi laluan ‘trail’ dan 24 ‘check point’ sebagai panduan perjalanan, tidak seperti kebanyakan hutan rekreasi yang kebiasaan terus diredah sendirian saat tiba di laluan masuk. 

GAZEBO unik yang menang pertandingan rekaan. NSTP/Aizuddin Saad
GAZEBO unik yang menang pertandingan rekaan. NSTP/Aizuddin Saad

PENGUNJUNG boleh berehat selepas berjalan kaki di dalam kawasan hutan. NSTP/Aizuddin Saad
PENGUNJUNG boleh berehat selepas berjalan kaki di dalam kawasan hutan. NSTP/Aizuddin Saad

AKTIVITI yoga percuma setiap Sabtu. NSTP/Aizuddin Saad
AKTIVITI yoga percuma setiap Sabtu. NSTP/Aizuddin Saad

Bagi yang tidak biasa merentas atau mendaki hutan, denai hutan ini sudah memadai sebagai aktiviti permulaan kerana laluannya begitu teratur, dibina tangga dan lengkap penunjuk arah perjalanan dari satu titik tumpuan ke check point seterusnya.

Tidak terlalu memenatkan kerana kelulusan laluan hutan ini antara tiga atau empat kilometer saja. 

Dianggarkan hanya mengambil masa 45 minit hingga satu jam untuk melengkapkannya bagi mengelilingi hutan ini. Biarpun ketika itu jam sudah menunjukkan 11 pagi, terik matahari tidak dirasai berikutan ratusan pohon besar memayungi sebahagian hutan. 

Sebelum memulakan perjalanan, kami terlebih dahulu mengambil peluang menyertai aktiviti yoga yang diadakan secara percuma antara jam 10 hingga 11 pagi setiap pagi Sabtu. 

Menurut kakitangan Projek Taman Tugu ini, setakat ini lebih 110,000 orang mengunjungi tempat ini sepanjang dua tahun dibuka. Malah, setiap bulan hutan riadah mempunyai pelbagai aktiviti berbeza, yang boleh diikuti secara percuma dengan hanya membuat pengesahan kehadiran di Facebook atau Instagram.

Misalnya aktiviti zumba boleh diikuti pada Rabu antara jam 6 hingga 7 petang, program perpustakaan pada tarikh tertentu serta banyak lagi, bergantung susunan aktiviti bulanan. 

Apa yang dirasai paling selesa adalah laluan tidak terlalu padat kerana kebanyakan pengunjung hanya berjalan berikutan laluan mendatar, berbanding di hutan rekreasi pengunjungnya gemar berlari bagi memperbaiki catatan masa. 

Misalnya, jam peranti kecergasan Fitbit yang dipakai, menunjukkan masa beriadah 50 minit, dengan lingkungan jarak hampir empat kilometer menunjukkan capaian masa sama jika melakukan aktiviti berintensiti tinggi iaitu pembakaran kalori 2,600 kcal. 

Penulis sempat bersembang dengan pengunjung, Nur Hayati Juha, 43, yang bekerja sebagai pengamal undang-undang, menjelaskan beliau sudah dua kali berkunjung ke situ dan menyifatkan aktiviti merentas hutan begitu melegakan, berpeluh dan menyeronokkan terutama apabila dilakukan secara berkumpulan. 

Katanya, dengan persekitaran kerja yang selalu dihimpit tekanan, beriadah di hutan mampu memberi keseronokan, melupakan belenggu masalah.

“Saya tinggal di Ampang. Jaraknya sudah tentu tidak jauh dari sini. Lagipun, semua sangat untuk saya yang sudah melepasi usia 40 tahun perlu berjinak-jinak dengan aktiviti menyihatkan. 

"Semuanya kerana tertarik apabila rakan memuat naik aktivitinya sekeluarga beriadah di Taman Tugu . Jadi kami diberitahu ada hutan bandar di penghujungnya, jadi dua minggu lalu, kami ke sini mencuba tahap kecergasan masing-masing, Alhamdulillah semua baik-baik saja," katanya. 

Pandangan itu dipersetujui rakannya, Norzidatul Aini Mohd Nazri, 41, yang jatuh cinta dengan aktiviti santai sambil memuji usaha pemaju projek yang menyelenggara, menjaga kebersihan dan memaparkan maklumat lengkap mengenai pokok, menyediakan fasiliti lengkap untuk beriadah. 

"Di hutan ini masih boleh melihat monyet, tupai serta fauna lain bergayutan di dahan pokok, menandakan habitatnya masih terpelihara. Bagi pengguna pula, boleh berhenti rehat di bangku atau buaian yang disediakan," katanya. 

INFO:

TAMAN TUGU

* Projek tanggungjawab sosial korporat Khazanah Nasional Berhad 

* Mempunyai dua komponen iaitu Taman Tugu (Monument Park) dan Forest Trail berkeluasan 27 hektar, mengekalkan landskap kehijauan hutan. 

*  Dibuka : Setiap hari 7 pagi - 6.30 petang. 

* Laluan trek - 4 km

* Sesuai untuk disewakan acara tertutup seperti sambutan hari lahir, team building dan lain-lain. 

Mengenai Taman Tugu

* Dibangunkan sebagai pusat tarikan pelancongan 

* Dibangunkan dengan perkongsian kerjasama Institut Penyelidikan Hutan Malaysia (FRIM).

* Lebih 1,000 pokok dikenal pasti dan ditandakan sebagai sebahagian program pemuliharaan. 

* Spesies pokok seperti Jelutong, Tembusu, Pulai, Gaharu (ada berusia 100 tahun. 

* Lebih 4,000 pokok berusia antara  8-10 tahun dengan 230 daripadanya dari hutan hujan tropika ditanam dari taman ini. 

* 1,000 pokok dikategorikan“Endangered” atau “Critically Endangered” by the International Union for 

Conservation of Nature (“IUCN”) seperti spesies Keruing, Meranti and Mersawa. 

Berita Harian X