Ahad, 23 Februari 2020 | 10:30am

'Bermesra dengan 4,000 buaya

Bagi individu yang inginkan pengalaman percutian berbeza seperti ‘beramah mesra’ dengan dinosaur, Jurassic Croc tarikan terbaharu di Crocodile Adventureland Langkawi yang terletak di Jalan Teluk Datai di sini ada jawapannya.

Bayangkan keterujaan anda apabila kunjungan ke Jurassic Croc akan disambut oleh dua dinosaur iaitu Velociraptor dan Dilophosaurus serta berpeluang berswafoto dengan haiwan prasejarah itu.

Bukan itu sahaja pengunjung juga dapat menyaksikan, replika seekor buaya gergasi daripada spesies, Sarcosuchus berukuran 15.24 meter yang pernah hidup di zaman dinosaur, membuat kemunculan dari dalam sebuah gua secara tiba-tiba.

Biarpun Velociraptor dan Dilophosaurus itu sekadar kostum yang dipakai oleh kakitangan Crocodile Adventureland Langkawi manakala Sarcosuchus ialah replika dinosaur yang digerakkan secara animatronik, keterujaan pelancong ke Jurassic Croc dapat dirasai.

Ini susulan lokasi tarikan terbaharu itu turut menawarkan aktiviti bersifat interaktif sejak dibuka pada pertengahan Disember tahun lalu.

Pengurus Besar Taman Buaya Langkawi Sdn Bhd, Adam Fuaad yang mengendalikan Crocodile Adventureland Langkawi, Jurassic Croc, berkata usaha pihaknya untuk memberi nilai tambah terhadap taman buaya yang sebelum ini menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai taman buaya terbesar di negara ini.

Malah, lokasi itu juga memenangi anugerah kecemerlangan daripada laman sesawang pelancongan dunia, TripAdvisor.

Beliau berkata, Jurassic Croc ini Crocodile Adventureland Langkawi dapat ‘menghidupkan’ kembali buaya prasejarah iaitu Sarcosuchus yang pernah menguasai dunia melalui teknologi animatronik.

Katanya, buaya Sarcosuchus ataupun ‘Super Croc’ yang berukuran 15.2 meter ini adalah buaya animatronik yang terbesar pernah dipamerkan di dunia.

“Ia dibuka untuk tontonan umum mulai pertengahan Disember tahun lalu,” katanya.

Pengunjung melihat petugas memberi makanan kepada buaya. - Foto ihsan FB Crocodile Adventureland Langkawi
Pengunjung melihat petugas memberi makanan kepada buaya. - Foto ihsan FB Crocodile Adventureland Langkawi

Selain itu, terdapat juga beberapa haiwan zaman jurassic lain yang akan diperkenalkan kepada pengunjung seperti Velociraptor dan Dilophosaurus serta anak buaya, Sarcosuchus,” katanya.

Bertepatan dengan sambutan Tahun Melawat Malaysia (TMM2020) pembukaan Jurassic Croc pastinya menambah lagi tarikan di taman buaya yang menempatkan lebih 4,000 ekor reptilia itu daripada enam spesies (buaya) antaranya Tomistoma, Siamese, Guinea dan Saltwater (Buaya Tembaga).

Seorang pengunjung, Chia Sui Nee, berusia lingkungan 20-an, dari Alor Setar berkata biarpun Jurassic Croc hanya kawasan interaktif, namun pengalaman berswafoto dan beramah mesra dengan Velociraptor serta Dilophosaurus amat mengujakannya.

Pengunjung berpeluang berswafoto dengan buaya di Jurassic Croc.
Pengunjung berpeluang berswafoto dengan buaya di Jurassic Croc.

Bagi Julinda Ayob, 40-an, elemen terbaharu itu amat menarik di samping memberi pengetahuan tambahan kepadanya mengenai dinosaur menerusi papan maklumat yang diletakkan di sekitar taman interaktif itu yang memberikan suatu pengalaman baharu kepada pengunjung terutamanya kanak-kanak.

Selain Jurassic Croc, taman buaya itu turut memiliki tarikan lain seperti ‘Bujang Basar’, buaya tembaga jantan gergasi berukuran 4.6 meter dengan berat hampir satu tan yang dinobatkan memiliki ukuran badan terpanjang dan terberat pernah ditempatkan dalam taman buaya di negara ini oleh MBOR.

Pengunjung juga berpeluang melihat kakitangan terlatih memberi makan reptilia ganas yang ditempatkan di kolam khas, merasai pengalaman ‘pancing’ buaya serta pelbagai lagi tarikan di taman buaya terbesar di Malaysia itu. - BERNAMA

Berita Harian X