Ahad, 1 March 2020 | 11:02am
Pantai Papakolea di Hawaii terhasil akibat lahar gunung berapi Mauna Loa.
Pantai Papakolea di Hawaii terhasil akibat lahar gunung berapi Mauna Loa.

Hamparan pasir hijau

Jika anda merancang untuk meneroka Hawaii, jangan lupa selitkan pengembaraan ke Pantai Papakolea kerana ia bukan sahaja menyajikan panorama cantik tetapi menampilkan sesuatu lain daripada yang lain.

Pantai Papakolea juga dikenali dengan nama Pantai Berpasir Hijau atau Pantai Mahana. Pantai ini terletak dekat South Point di daerah Ka’u, Hawaii.

Menjejakkan kaki ke pantai ini, anda pasti berasa teruja kerana disambut dengan hamparan pasir berwarna hijau. Pasir di pantai ini berwarna hijau gelap seperti buah zaitun.

Dari jauh, pantai Papakolea kelihatan seolah-olah ia dilindungi oleh sejumlah besar lumut melawan tebing kelabu.

Dengan batu-batan dan tebing yang mengelilingi pantai itu ia akan melengkapkan lagi pengalaman berbeza untuk anda kecapi di sini.

Pengunjung perlu memandu dan mendaki untuk sampai ke Pantai Papakolea.
Pengunjung perlu memandu dan mendaki untuk sampai ke Pantai Papakolea.

Keanehan geologi

Uniknya, Pantai Papakolea adalah salah satu daripada empat pantai dengan pasir hijau yang ada di dunia.

Selain Papakolea, ada juga Pantai Talofofo, Punta Cormorant di Galapagos dan Hornindalsvatnet yang ada di Norway.

Pantai Papakolea adalah keanehan geologi dalam kala­ngan beberapa di dunia.

Menurut cerita, pantai itu terbentuk sedemikian disebabkan letusan gunung berapi terbesar di dunia, Mauna Loa.

Ketika gunung ini meletus pada beribu-ribu tahun lalu, ia memuntahkan lahar yang kaya dengan mineral silika terdiri daripada besi dan magnesium.

Butiran kristal olivine dan material lain letusan gunung ini turut menutupi pulau hingga ke pantai ini.

Apabila laharnya mulai men­dingin ia membentuk butiran kristal olivine yang berwarna hijau, sekali gus memberikan nama pantai itu.

Daya tarikan pasir kristal pantai ini memperlihatkan bahawa kombinasi warna biru dan hijau itu sangat cantik serta indah untuk dipandang.

Sehingga ke hari ini, daya tarik utama pantai ini, tentu saja, pasir kristal berwarna hijau.

Bagaimanapun, Pantai Papakolea tidak mudah dijangkau. Untuk sampai ke pantai ini anda perlu memandu dan mendaki.

Pertama, anda perlu memandu me­nempuh perjalanan darat ke Pantai Kohalake atau hujung selatan Amerika Syarikat.

Kemudian, diteruskan dengan berjalan kaki menerusi pendakian 4 kilometer (satu arah) dari tempat letak kereta ke pantai.

Daya tarikan pasir kristal Pantai Papakolea memperlihatkan kombinasi warna biru dan hijau yang sangat cantik.
Daya tarikan pasir kristal Pantai Papakolea memperlihatkan kombinasi warna biru dan hijau yang sangat cantik.

Pendakian dikatakan, mengambil masa antara dua hingga empat jam. Biarpun mencabar, hasilnya adalah berbaloi.

Pengunjung boleh berenang atau meluncur di pantai ini, namun harus berhati-hati kerana kadangkala ada ombak besar melanda.

Berangin dan panas

Perlu juga diingat, pantai ini tiada kemudahan dan juga pengawal pantai, malah tidak ada yang menjual makanan dan minuman.

Jadi, pastikan anda membawa makanan dan air yang mencukupi apabila datang ke sini. Selain itu, tiada perlindungan untuk matahari di pantai.

Untuk anda mempunyai kulit yang sensitif, elok membawa topi atau barangan perlindungan matahari.

Anda juga diingatkan, jangan sesekali membawa keluar pasir dari pantai kerana ia menyalahi undang-undang.

Masa terbaik untuk melawat pantai Papakolea adalah waktu pagi dan jika anda ingin mengelakkan kehadiran ramai orang, elakkan berkunjung pada hari hujung minggu.

Kunjungan pada awal pagi akan lebih menyenangkan kerana suhu sejuk. Apatah lagi, sebahagian daripada ‘Big Island’ ini boleh menjadi sangat berangin dan panas.

Berita Harian X