Ahad, 7 April 2019 | 10:01am

Jejaki dinosaur di Nilai

MEMILIH pusat beli-belah untuk menghabiskan masa hujung minggu bersama anak dan melakukan aktiviti lain daripada lain, mungkin agak janggal.

Lazimnya, lokasi itu menjadi tumpuan untuk membeli barangan keperluan atau menikmati hidangan di restoran pilihan.


DINO Ranger antara tarikan untuk pengunjung. - Foto Ihsan AEON


Tarikan Rumah Raksasa. - Foto Ihsan AEON

Namun, berbeza bagi syarikat rangkaian peruncitan terkenal, AEON CO (M) Bhd apabila menampilkan kelainan dengan memperkenalkan zon inovatif dikenali The Adventurers’ Web buat julung kalinya, di AEON Nilai, Negeri Sembilan.

Apakah yang menarik disediakan di situ? The Adventurers’ Web direka khusus untuk mereka yang berani mencuba berada di lokasi zon tidak dikenali.

Hati-hati, pengunjung mungkin boleh terperangkap di dalam web dan anda tidak boleh berpatah balik.

Konsep diperkenalkan di dalam web itu merangkumi sains futuristik dan teknologi ke dunia kuno, selain menyediakan pengalaman yang menyeramkan bagi tujuan keseronokan, meningkatkan kemahiran berfikir, menggalakkan pembelajaran serta aktiviti bersama keluarga.

Pengarah Urusannya, Shinobu Washizawa, berkata zon inovatif ini diwujudkan memandangkan ibu bapa sering mencari-cari lokasi aktiviti untuk perkembangan imaginasi anak.

Katanya, The Adventurers’ Web adalah lokasi tepat dan peluang terbaik mereka menyertai aktiviti berfaedah sambil bergembira.


Pusat Mini Sains- Foto Ihsan AEON

“Di AEON, kami sentiasa mencabar kepelbagaian dalam usaha untuk kekal relevan dengan perubahan gaya hidup pengguna dan persekitaran perniagaan.

“Kami percaya adalah penting untuk mewujudkan satu platform untuk keluarga dan rakan menghabiskan masa berkualiti dalam aktiviti yang menyeronokkan dan bermanfaat,” katanya.

Kawasan seluas 2,440 meter persegi terletak di tingkat dua pusat beli-belah itu ada pelbagai tema dan dilengkapi tiga tarikan utama, iaitu Dinosaur Rangers, Monster House dan Mini Science and Technology Discovery Centre yang akan berubah dari semasa ke semasa.

Melangkah ke Dinosaur Rangers, pengunjung akan dibawa ke zaman prasejarah dan merasai sendiri pengalaman bertemu dengan 10 dinosaur ‘hidup’ serta aktiviti lain.

Bagi yang inginkan cabaran menyeramkan, Monster House adalah tempatnya dan mungkin bagi yang berkeluarga boleh mencuba kategori dengan menampilkan raksasa kecil dan comel atau lebih ekstrem yang lebih menakutkan.

Penerokaan sains dan teknologi, mereka boleh mencuba di Mini Science and Technology Discovery Centre yang menyediakan hab mini sains untuk kanak-kanak dan pelajar.

INFO:

The Adventurers’ Web

* Terletak di pusat beli-belah AEON Nilai.

* Dibuka secara rasmi pada 23 Mac lalu

* Harga tiket RM49 untuk merasai pelbagai tarikan dan pengalaman.

* Untuk ahli AEON Credit Service, boleh mendapatkan sehingga 30 peratus diskaun.

* Menyediakan 2,150 tempat letak kenderaan.

Berita Harian X