Ahad, 19 Januari 2020 | 10:12am
PENGELUAR hasil makanan laut di Parit Bunga, Muar. NSTP/Badrul Kamal Zakaria
PENGELUAR hasil makanan laut di Parit Bunga, Muar. NSTP/Badrul Kamal Zakaria

Parit Bunga kaya hasil laut

APABILA berkunjung ke Tangkak dan Muar di Johor pastinya apa yang terlintas pada fikiran adalah sajian asam pedas dan mi bandung yang sememangnya menyelerakan.

Selain itu, pengunjung ke daerah berkenaan ingin membeli-belah di kawasan perdagangan tekstil terkemuka di bandar Tangkak yang menyediakan pelbagai pilihan kain untuk pakaian mahupun hiasan rumah.

Bagaimanapun, ramai tidak mengetahui kedua-dua daerah ini terkenal sebagai pengeluar hasil makanan laut segar terutama di Kampung Parit Bunga.

Terletak kurang 10 kilometer dari bandar Muar dan 30 kilometer dari bandar Tangkak, Kampung Parit Bunga menjadi lokasi pilihan mendapatkan hasil laut mentah segar, dibawa terus dari Sungai Muar dan pesisir pantai kedua-dua daerah ini.

PENGELUAR hasil makanan laut di Parit Bunga, Muar. NSTP/Badrul Kamal Zakaria
PENGELUAR hasil makanan laut di Parit Bunga, Muar. NSTP/Badrul Kamal Zakaria

Di Kampung Parit Bunga, terdapat kira-kira 12 gerai jualan pelbagai hasil laut segar mentah seperti kupang, siput, lokan, kerang, mentarang dan paling popular iaitu tiram dari Sungai Muar.

Peniaga, Abdul Aziz Abdullah, 47, berkata beliau sudah mengusahakan jualan hasil laut sejak 12 tahun lalu, jualan mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan mahupun pengunjung dari luar daerah.

Antara yang ditawarkan iaitu kupang, tiram, kerang, lokan dan siput.

“Apabila tiba musim saya juga menjual hasil laut lain iaitu mentarang, kepah dan lala. Pada waktu itu, sambutan daripada orang ramai lebih meriah," katanya.

Tinjauan BH mendapati orang ramai yang melalui perkampungan itu tidak melepaskan peluang berhenti membeli hasil laut mentah segar untuk dijadikan hidangan makan bersama keluarga.

Abdul Aziz mengusahakan perniagaan itu bersama isterinya, Jamaliah Ahmad, 44, berkata semua hasil laut segar diperoleh secara langsung daripada nelayan dan juga masyarakat Orang Asli yang menetap di pinggir pantai.

Bekalan tiram dan kupang dibekalkan nelayan dan penyelam tiram di Pangkalan Nelayan Parit Tiram, sememangnya terkenal sebagai lokasi pendaratan haiwan akuatik itu.

"Bagi hasil laut seperti siput, lokan dan mentarang pula dibekalkan Orang Asli di sekitar Muar dan Tangkak ke gerai saya," katanya.

Ditanya apakah produk hasil laut paling digemari pelanggan, Abdul Aziz berkata kupang menjadi pilihan ramai dan sentiasa mendapat permintaan selain siput sedut.

“Kupang ini biasanya dibakar, goreng berlada atau dijadikan jamuan hidangan lambak atau “shell-out”.

"Siput pula terkenal sebagai sajian enak masak lemak, sementara lokan pula sedapat dibakar, masak sambal atau dijadikan rendang sementara mentarang lazat goreng halia atau dijadikan bahan colek," katanya.

Selain kesegaran hasil laut, faktor harga berpatutan menyebabkan ramai tidak melepaskan peluang membelinya untuk dibawa pulang untuk dinikmati bersama keluarga.

“Kupang dijual pada harga antara RM7 atau RM10 bagi setiap kilogram mengikut saiz. Siput pula RM8 hingga RM10 bagi setiap 600 gram manakala lokan RM7 atau RM8 sekilogram.

“Biasanya sambutan paling banyak diterima ialah pada setiap kali musim cuti sekolah, musim perayaan atau setiap awal bulan, Alhamdulillah setakat ini sambutan amat baik,” katanya.

Abdul Aziz berkata, gerainya pernah menerima kunjungan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar ketika Kembara Mahkota Johor (KMJ) beberapa tahun lalu.

Pada KMJ itu, Sultan Ibrahim mengisytiharkan Kampung Parit Bunga sebagai Zon Kupang dan berkat daulat baginda menyebabkan kawasan ini semakin menerima kunjungan ramai.

Malah, ramai pengunjung dari luar daerah yang melintasi kawasan gerai di sepanjang jalan itu juga akan berhenti membeli untuk dibawa pulang, manakala anak perantau atau pelawat lain juga tidak melepaskan peluang memborong.

Berita Harian X