Ahad, 23 Februari 2020 | 10:00pm

Pulau Gemia keindahan memukau

Malaysia memiliki beberapa pulau terkenal dan menarik untuk dijadikan destinasi pelancong untuk beristirehat bagi mengisi musim percutian yang menarik.

Setiap pulau memiliki keunikan tersendiri dan pesona sejuta keindahan.

Pulau Gemia di Terengganu antara menarik untuk diterokai tetapi ia mungkin jarang diperkatakan seperti pulau lain seperti Pulau Perhentian, Pulau Kapas dan Pulau Redang.

Namun, anda tidak akan menyesal datang ke pulau ini kerana keindahan dan persekitarannya tetap memukau.

Terletak kira-kira 18 kilometer dari Marang, pulau itu mendapat namanya daripada pokok kundang atau lebih dikenali sebagai pokok gemia oleh masyarakat Terengganu yang tumbuh di puncak bukit pulau itu.

Perjalanan ke Pulau Gemia hanya 5 kilometer (km ) atau 15 minit sahaja menaiki bot dari jeti Marang di Kuala Terengganu.

Justeru, bagi anda yang ingin ke Pulau Kapas, jangan lupa untuk singgah ke pulau ini yang hanya 800 meter dari satu sama lain.

Pulau ini diliputi pohon yang mekar menghijau dan ia adalah sebuah pulau persendirian yang juga dikenali sebagai Coral Island kerana dikelilingi oleh terumbu batu karang.

Selain kaya dengan terumbu karang, pulau ini ada pelbagai khazanah hidupan laut.

Pulau Gemia sememangnya agak kurang dilawati dalam kalangan pelancong tempatan walaupun keindahannya tidak kurang hebat dengan yang lain, namun agak terkenal dalam kalangan pelancong asing.

Bagi pengunjung yang mahukan ketenangan dan kesunyian serta ingin melarikan diri daripada hiruk-pikuk kesibukan kota, pulau ini barangkali pilihan tepat untuk merehatkan minda dan fizikal.

Bagaimanapun, banyak aktiviti lain yang boleh dilakukan di sini antaranya adalah berkayak, snorkeling dan merentas hutan.

Jika tidak berminat dengan aktiviti lasak seperti itu, mungkin anda boleh sekadar bersantai dan menghirup udara segar di pulau ini.

Anda boleh berjalan sekeliling pulau dengan merentasi tebing batu dan kawasan pantai memutih. Udara di sini juga sungguh nyaman dan sejuk kerana kurang penerokaan hutan.

Lautnya biru dan pantainya kuning. Selain itu terdapat pelbagai jenis burung di sini, antaranya ialah burung bangau, burung rajawali, burung nuri dan sebagainya.

Persekitaran yang romantis dan damai sememangnya cukup mententeramkan jiwa serta boleh melekakan anda.

Pulau Gemia di Terengganu menyediakan keindahan alam semula jadi yang menarik.
Pulau Gemia di Terengganu menyediakan keindahan alam semula jadi yang menarik.

Jika tepat pada masanya dan bernasib baik, anda mungkin berpeluang melihat kehadiran penyu Agar yang datang untuk bertelur di pulau ini.

Pulau kecil ini juga menarik dikunjungi kerana memiliki panorama matahari terbit yang cantik.

Begitu juga pada waktu malam di pulau ini, cukup menyenangkan kerana anda akan mendengar bunyian ombak dan unggas.

Yang pasti, Pulau Gemia menjanjikan pengalaman yang indah dan mengasyikkan. Menikmati keindahan alam ciptaan Tuhan di pulau ini boleh membuatkan anda lupa seketika dengan kesibukan harian.

Berita Harian X