Ahad, 1 March 2020 | 11:47am
Mural potret wajah tujuh Perdana Menteri yang terpapar di bangunan Dewan Tunku Abdul Rahman di pusat bandar raya Kuala Terengganu menjadi tarikan baharu pelancong merakam gambar kenangan.
Mural potret wajah tujuh Perdana Menteri yang terpapar di bangunan Dewan Tunku Abdul Rahman di pusat bandar raya Kuala Terengganu menjadi tarikan baharu pelancong merakam gambar kenangan.

Percutian berbaloi di Terengganu

Pulau Redang, Pulau Perhentian, Pulau Kapas dan Tasik Kenyir antara tarikan utama yang sinonim dengan Terengganu yang menjadi tumpuan ramai sejak sekian lama.

Keindahan pulau dan tasikperanginan itu tidak perlu diperkatakan lagi dan sentiasa menjadi destinasi pilihan pelancong dalam dan luar negara saban tahun.

Di sebalik semua itu, Terengganu turut mempunyai banyak lokasi menarik untuk dilawati sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020).

Selain terkenal dengan keindahan pulau dan alam semula jadinya, negeri di Pantai Timur itu juga turut popular dengan kepelbagaian produk pelanco­ngan yang ditawarkan.

Kincir air di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, Terengganu yang dibina berdasarkan teori Al-Jazari iaitu pakar mekanikal pada zaman keagungan Islam.
Kincir air di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, Terengganu yang dibina berdasarkan teori Al-Jazari iaitu pakar mekanikal pada zaman keagungan Islam.

Kesempatan penulis mengikuti Lawatan Peningkatan Kerjasama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dengan Media Perak ke Kuala Terengganu, baru-baru ini meninggalkan memori indah yang sukar dilupakan.

Mana tidaknya, kepenatan melalui perjalanan lebih lapan jam dengan bas itu seakan-akan lenyap apabila melihat suasana pagi di negeri Penyu itu cukup mendamaikan.

Malah, kembara di Kuala Terengganu nyata membuka ruang baharu kepada penulis untuk melihat negeri yang terkenal dengan keropok lekor itu luar dari prespektif percutian di pulau semata-mata.

Program itu turut disertai wakil Jabatan Penerangan Perak, Tourism Perak dan Sunway Lost World of Tambun untuk meningkatkan kerjasama dan perkongsian ilmu selain membantu mempromosikan pelancongan di Perak.

Lawat mercu tanda ikonik

Sepanjang tiga hari di sana, penulis bersama rombongan tidak melepaskan peluang melawat beberapa lokasi menarik di sekitar Kuala Terengganu antara­nya tarikan baharu, jambatan angkat atau ‘drawbridge’.

Masjid Lapan Kubah di Kampung Lapan Kotak, Jerteh, yang mendapat jolokan sebagai Masjid Russia kerana seni binanya seakan-akan St Basil Cathedral di Moscow, Russia.
Masjid Lapan Kubah di Kampung Lapan Kotak, Jerteh, yang mendapat jolokan sebagai Masjid Russia kerana seni binanya seakan-akan St Basil Cathedral di Moscow, Russia.

Mercu tanda ikonik bernilai RM248 juta itu menjadi buah mulut ramai yang mengagumi struktur dan seni binanya.

Malah, ia menjadi lokasi baharu untuk mengambil gambar

kenangan.

Antara lokasi popular bagi kaki foto untuk mengambil gambar berlatarkan ‘drawbridge’ adalah di Dataran Persisir Payang, Medan Selera Tanjung dan di Seberang Takir iaitu kawasan berhampiran jambatan berkenaan.

Pelancong juga boleh memilih kelainan dengan menyewa bot penambang untuk menyusuri Sungai Terengganu dan melewati drawbridge di kawasan muara sungai.

Bot akan melewati beberapa kawasan seperti Pulau Duyung, Masjid Kristal, perkampungan Melayu tradisonal Terengganu serta bengkel pembuatan bot nelayan dan kapal.

Pelancong juga akan disaji­kan dengan pemandangan indah terutama ketika matahari terbit dan terbenam selain pelbagai maklumat menarik mengenai lokasi yang dilewati oleh operator bertugas.

Mempunyai sejarah tersendiri

Selepas aktiviti di sungai, penulis berkesempatan melawat Taman Tamadun Islam (TTI) di Pulau Wan Man, Kuala Terengganu yang memaparkan 23 monumen Islam dari beberapa negara dan mempunyai sejarahnya tersendiri.

Antara monumen yang ada di taman berkenaan adalah Taj Mahal, Agra India; Masjid Nabawi, Madinah Arab Saudi; Masjid Sulaiman, Turki; Al-Hamra atau Istana Merah, Granada, Sepanyol; Masjid Xian, China; Abu Nasr Parsa, Afghanistan dan Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin, Brunei.

Satu lagi lokasi tarikan baharu adalah mural potret wajah tujuh Perdana Menteri Malaysia yang terpapar di bangunan Dewan Tunku Abdul Rahman di pusat bandar raya Kuala Terengganu.

Mural itu bukan saja mengindahkan landskap bangunan berkenaan, malah menjadi daya tarikan pelancong ke bandar raya warisan pesisir air itu.

Pasar Besar Kedai Payang unik

Kunjungan ke Kuala Terengganu juga tidak lengkap jika tidak ke Pasar Besar Kedai Payang yang terkenal sebagai pusat beli-belah pelbagai produk tempatan.

Di sini dapat dilihat keunikan negeri ini. Pelbagai barangan seperti makanan, pakaian, kasut, barang kemas dan kain pasang songket atau batik canting boleh didapati dengan corak serta harga yang berpatutan.

Pemandangan udara Proses pengujian Jambatan Angkat (drawbridge).
Pemandangan udara Proses pengujian Jambatan Angkat (drawbridge).

Selain Masjid Kristal, penulis juga melawat Masjid Tengku Tengah Zaharah atau dikenali sebagai masjid terapung di Kuala Ibai yang menampilkan ciri-ciri tamadun Islam dan gabungan seni bina tempatan.

Selain itu, Masjid Lapan Kubah di Kampung Lapan Kotak, Jerteh, yang mendapat jolokan sebagai Masjid Russia kerana seni binanya seakan-akan St Basil Cathedral di Moscow, Russia turut dilawati dalam perjalanan ke Kuala Terengganu.

Seni binanya bukan saja unik, malah kubah yang dicat berwarna-warni menjadikan masjid berkenaan sebagai lokasi menarik kunjungan ramai untuk menunaikan solat dan merakam kenangan.

Keistimewaan dan keinda­han Terengganu mampu menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa untuk meneroka pengalaman dengan cara tersendiri.

Tarikan pelancong lihat keindahan monumen, masjid

Seorang peserta program, Hamimah Hamid, 38, menga­kui beliau teruja meneroka TTI yang disifatkan memberi peluang kepada pengunjung untuk melihat monumen dan masjid yang ada di seluruh dunia.

Katanya, TTI membuka ruang kepada mereka yang tidak berpeluang ke luar negara untuk melihat keindahan monumen atau masjid lain di dunia.

“Selain itu, makanan popular seperti keropok lekor dan ikan, udang serta sotong celup tepung juga menjadi tarikan utama pelancong.

“Terengganu nyata memberikan percutian yang berbaloi dalam negara kerana bukan saja menawarkan pulau yang indah dan mempesonakan tetapi lokasi lain juga sangat menarik untuk diteroka,” katanya.

Berita Harian X