Ahad, 19 April 2020 | 10:01am
PETUGAS PKGK Kuala Gandah, sedang memantau sambil membiarkan gajah mandi di dalam sungai. Foto/Mohd Rafi Mamat
PETUGAS PKGK Kuala Gandah, sedang memantau sambil membiarkan gajah mandi di dalam sungai. Foto/Mohd Rafi Mamat

Gajah Kuala Gandah, tunggu kunjung pelancong

Gelagat gajah yang mampu melakukan pelbagai aksi ternyata menghiburkan sekali gus ia menjadi antara tarikan utama pelancong yang datang ke Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah Lanchang, Temerloh, Pahang.

Lebih menarik pengunjung diberi peluang memberi haiwan makanan seperti buah, kacang dan tebu, selain aktiviti mandi bersama anak gajah di sungai yang terdapat kawasan pusat berkenaan.

Pasti ramai teruja mahu merakamkan gambar sambil diawasi kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

Selain dapat mengamati lebih rapat 31 gajah dewasa dan anak, pengunjung tidak seharusnya melepaskan berpeluang melawat galeri atau muzium gajah bagi melihat gambar, replika dan peralatan yang pernah digunakan untuk menangkap haiwan berkenaan suatu ketika dahulu.

Peluang juga boleh menonton video dokumentari operasi menangkap dan memindahkan haiwan liar terbabit ke habitat baru yang ditayangkan di studio mini di bangunan utama.

ANTARA 31 gajah di Kuala Gandah memerlukan penjagaan rapi supaya sihat sepanjang tempoh PKP. Foto/ Mohd Rafi Mamat
ANTARA 31 gajah di Kuala Gandah memerlukan penjagaan rapi supaya sihat sepanjang tempoh PKP. Foto/ Mohd Rafi Mamat

Bagi memastikan kunjungan pelancong ke PKGK Kuala Gandah ini berjalan lancar mereka perlu mendapatkan khidmat pemandu pelancong yang disediakan bagi menguruskan setiap pergerakan termasuk aktiviti di luar kawasan itu/

Bayaran untuk seorang pemandu pelancong ialah RM50 dan maksimum 12 pelancong bagi seorang pemandu pelancong.

Bagaimanapun, semua keseronokan terbabit yang lazimnya dapat dilakukan sebelum ini, terpaksa dihentikan sementara sejajar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sejak 18 Mac lalu dan mungkin mengambil masa yang lebih panjang lagi.

Demi keselamatan semua pengunjung dan habitat berkenaan amat penting survival pada masa depan.

Ketua PKGK Kuala Gandah, Muhammad Khairul Adha Mat Amin, berkata sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan wabak COVID-19, pihaknya menutup sepenuhnya tempat itu.

Bagaimanapun, petugas di sini diberi tugas untuk menjaga tahap kesihatan 31 gajah terbabit supaya sentiasa berada dalam keadaan baik dengan melakukan pelbagai aktiviti seperti memandikan gajah, dan membiarkan gajah berjalan di sekitarnya setiap hari.

Katanya, tugas pengawasan haiwan berkenaan termasuk memberi makan dan mencuci kandang dilakukan secara bergilir oleh 20 kakitangan.

“Sifat semula jadi gajah ialah perlu berjalan di kawasan terbuka dan di dalam hutan setiap hari, tahap kesihatan haiwan berkenaan akan terjejas sekiranya tidak melakukan sebarang aktiviti.

"Waktu siang gajah perlu berjalan dan diberi makanan selain dibiarkan turun ke sungai untuk mandi antara 10 hingga 15 minit, sekiranya cuaca panas.

"Setiap gajah dikawal oleh seorang mahut atau gembala sambil dibantu dua pembantu ketika melakukan apa juga aktiviti setiap hari terutama pada waktu pagi dan petang.

“Gajah diberi buah dan beberapa jenis makan lain setiap pagi mengikut sukatan ditetapkan, bagi yang tidak sihat rawatan diberikan oleh pegawai perubatan," katanya.

“Walaupun aktiviti bersama pelancong tidak ada sejak PKP, pihaknya tidak terkecuali daripada mengikuti jadual dan kegiatan harian,” katanya.

Muhammad Khairul Adha berkata, pihaknya mahu semua gajah itu berada dalam keadaan yang baik dan terjaga seperti sedia kala bagi menyambut kedatangan pelancongan selepas kerajaan membenarkan ia dibuka semula.

“Kita yakin pelancong dalam dan luar negara juga tidak sabar mahu mengikuti pelbagai program di sediakan di sini.

PENGUNJUNG seronok dapat mendekati dan melakukan pelbagai aktiviti dengan gajah (gambar dirakam sebelum PKP).
PENGUNJUNG seronok dapat mendekati dan melakukan pelbagai aktiviti dengan gajah (gambar dirakam sebelum PKP).

“PKGK Kuala Gandah yang sentiasa menjadi tumpuan pelancong. Tahun lalu, lebih 170,000 berkunjung ke sini sama ada bersama keluarga dan berkumpulan.

Untuk pengalaman berbeza, anda boleh bermalam dengan menyewa homestay yang diusahakan oleh masyarakat setempat terletak berhampiran PKGK Kuala Gandah.

Operasi PKGK Kuala Gandah bermula 8 pagi 4.30 petang dan dibuka setiap hari. Pelancong tidak dikenakan sebarang bayaran.

Berita Harian X