Sabtu, 30 Mei 2020 | 5:38pm
PELITA raya berusia 27 tahun jadi tumpuan. Foto/Amran Hamid
PELITA raya berusia 27 tahun jadi tumpuan. Foto/Amran Hamid

Pelita gergasi berusia 27 tahun jadi tumpuan

KUALA TERENGGANU: Aidilfitri sudah memasuki hari ketujuh, namun kemeriahan pelita raya di Kampung Padang Hangus, Tepuh, Kuala Nerus terus mencuri tumpuan ramai yang tidak melepaskan peluang merakam gambar sebagai kenangan.

Keunikan pelita itu menarik minat pelajar kolej dan institut pengajian tinggi (IPT) dan pencinta sejarah membuat kajian mengenai tradisi pelita raya di kampung berkenaan.

Namun, di sebalik keindahan cahaya pelita yang menghiasi pelbagai replika, pelita raya gergasi yang berdiri gah di halaman rumah Zaleha Matmin, 58, dan suami, Mat Kasim Mat Isa, 63, mencuri tumpuan orang ramai yang ingin mengetahui sejarah pelita berusia 27 tahun itu.

"Saya dan suami membuat pelita ini ketika anak bongsu kami belum lagi lahir iaitu pada Aidilfitri 1993.

"Selain pelita gergasi ini, ketika itu kami juga memasang sebanyak 50 biji pelita raya yang dibuat dengan tin minuman bertujuan untuk mengembalikan nostalgia kemeriahan menyambut Aidilfitri ketika zaman kanak-kanak dulu.

"Kami tidak sangka niat asal untuk suka-suka kekal sehingga kini, dan lebih seronok apabila ia menjadi tumpuan orang ramai termasuk pelancong luar negeri ini apabila semakin ramai penduduk kampung memasang pelita pada setiap kali Aidilfitri sekali gus menjadikan Kampung Padang Hangus terkenal di seluruh negara," katanya ketika ditemui di rumahnya, malam tadi.

Zaleha berkata, bagi membuat pelita yang digelar 'ibu' pelita raya itu, dia tidak mengeluarkan sebarang perbelanjaan kerana menggunakan bahan buangan dan ada di rumahnya.

Menurutnya, dia menggunakan tiga helai kain selimut lama dipanggil 'gebor' digunakan orang dulu-dulu untuk dijadikan sumbu dan menggunakan teknik tertentu ketika mencucuh dan memadamkan api bagi mengelak sumbu pelita hancur.

"Bahagian dalam saya letakkan tempayan lama dan di dalam tempayan itu diletakkan tin yang diisi dengan minyak diesel.

"Bahagian luar pula dililit dengan tali sauh yang sudah dibuang di kawasan pantai sepanjang hampir 30 meter," kata pasangan terbabit yang bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Zaleha yang mesra dipanggil Mok Leha berkata, bagi memastikan pelita tidak padam, dia menggunakan sebanyak 13 liter diesel setiap malam bermula malam tujuh likur menyamai yang digunakan untuk 400 pelita raya yang dipasang di sekitar halaman rumahnya.

"Orang ramai mula membanjiri kawasan rumah pada akhir Ramadan hingga hari raya ke enam sahaja.

"Saya bersama suami dan anak tidak menang tangan melayani pengunjung yang ingin mengetahui sejarah pelita gergasi dan tradisi pelita raya di kampung ini," katanya.

Berita Harian X