Ahad, 2 Ogos 2020 | 10:46am
TASIK Dayang Bunting, antara tarikan utama pelancong berkunjung ke Langkawi.- Foto/Hamzah Osman
TASIK Dayang Bunting, antara tarikan utama pelancong berkunjung ke Langkawi.- Foto/Hamzah Osman

Mandi di tasik jernih

"KEINDAHAN panorama dengan kehijauan alam semula jadi, kejernihan dan ketenangan air di Tasik Dayang Bunting serta bentuk muka buminya menyerupai wanita hamil, membuatkan kami mahu terus meneroka tempat ini.

"Saya dan ahli keluarga seronok dapat mandi-manda dalam tasik yang jernih ini. Malah amat unik apabila airnya tawar walaupun berada tidak jauh dari laut.

"Untuk sampai ke sini agak mencabar tapi kami sekeluarga gembira berenang di dalam tasik," kongsi Safina Sepian yang datang ke Langkawi untuk bercuti.

Beliau berasal dari Pulau Pinang yang juga seorang guru berkata, inilah waktu paling seronok dapat bersantai bersama keluarga selepas kerajaan membenarkan aktiviti pelancongan beroperasi semula.

Katanya, Tasik Dayang Bunting, Langkawi, sudah tidak asing lagi kepada pelancong dalam dan luar negara.

"Keindahan tasik dan kisah mitos minum air bagi mendapatkan zuriat menjadikan ia adalah destinasi wajib dikunjungi," katanya.

Perasaan sama dirasai, Ong Chuen Hong, 26, dari Kuala Lumpur, berkata pembukaan semula mengikut normal baharu kepada pengunjung mampu menyemarakkan industri pelancongan.

MANDI-MANDA menjadi kemestian pelancong yang berkunjung di Tasik Dayang Bunting.- Foto/Hamzah Osman
MANDI-MANDA menjadi kemestian pelancong yang berkunjung di Tasik Dayang Bunting.- Foto/Hamzah Osman

"Selain mandi, pengunjung turut berpeluang melakukan riadah sampingan termasuk aktiviti berkayak dan menaiki bot kayuh dan bot solar menyusuri tasik.

"Ratusan pelancong mengunjungi tasik bersama saya dan ini petanda positif bagi menyemarakkan lagi industri pelancongan pasca COVID-19," katanya.

Yang nyata, sejak aktiviti pelancongan domestik dibenarkan bermula 10 Jun lalu, pulau lagenda itu dengan tasik bersaiz 800 meter (m) panjang dan 350 m lebar itu kembali 'bernyawa'.

Perjalanan pengunjung dihidangkan pemandangan alam semula jadi termasuk Gua Langsuir dikatakan terbentuk akibat hakisan ombak laut lebih jutaan tahun lampau.

Malah kini, ratusan pengunjung teruja sebaik tiba di jeti di pesisir pantai itu, sebelum menapak dan mendaki tangga sejauh 500 m menuju tasik.

Tasik sedalam 14 meter itu adalah sebuah dolina iaitu runtuhan batu kapur dipisahkan dengan lautan oleh dinding batu kapur yang ketebalan kurang daripada 10 m sahaja.

Aktiviti mendaki dan menurun membabitkan 289 anak tangga sehala memang memenatkan, tetapi ia hilang sebaik pengunjung menjejak kaki atas pelantar tasik.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Kemajuan Langkawi (LADA), Dr Hezri Adnan, berkata Tasik Dayang Bunting adalah antara tiga destinasi pilihan pelancong di Langkawi, selain perkhidmatan SkyCab dan Underwater World Langkawi.

"Secara purata dalam beberapa tahun kebelakangan ini, seramai 400,000 pelancong dari dalam dan luar negara mengunjungi tasik berkenaan untuk mandi dan beriadah.

"Sejak dibuka semula sebaik PKPP pada 10 Jun lalu, seramai 60 hingga 100 pengunjung sehari dan ia amat positif," katanya.

LADA kini melihat potensi membangunkan 'Jejak Alam' dari tasik betina sedia ada ke tasik jantan sejauh 200 m sebagai produk tarikan baharu.

PELANCONG tempatan kembali bercuti selepas dibenarkan rentas negeri.- Foto/Hamzah Osman
PELANCONG tempatan kembali bercuti selepas dibenarkan rentas negeri.- Foto/Hamzah Osman

"Sebaik produk itu diwujudkan, tempoh satu jam pengunjung berada di Tasik Dayang Bunting seperti ditetapkan agensi pelancongan ketika ini, perlu dipanjangkan.

"Tasik itu juga sebahagian kawasan Geopark Langkawi, memiliki batu kapur Formasi Chuping berusia Perm iaitu 270 juta tahun," katanya.

Justeru, kunjungan orang ramai berkumpulan atau individu ke tasik itu membantu mereka memahami Geoforest Park secara lebih jelas.

Info:

Pulau Dayang Bunting

- Pulau kedua terbesar kedua selepas Pulau Langkawi.

- Kira-kira 20 kilometer dari pekan Kuah

- Perjalanan pengunjung menggunakan bot laju mengambil masa 20 minit.

-Pengunjung menaiki bot dari tiga lokasi, di Jeti Teluk Baru, Jeti Pelancongan Pekan Rabu dan Jeti Marble di Pantai Dato' Syed Omar di Kuah.

Berita Harian X