Sabtu, 23 November 2019 | 11:06am
Antara sajian popular terdapat di Restoran-Kafe Intai Intai, Jalan Imbi, Kuala Lumpur menampilkan konsep masakan Melayu-Kelantan warisan Thailand. - Foto Aswadi Alias

Sup nyicah Gunung Mat Chinchang, susunan tulang rusuk menyelerakan

Selepas lapan tahun beroperasi di tepi lebuh raya MRR2, Ampang, kini Restoran-Kafe Intai Intai dengan wajah dan menu baharu meneruskan perniagaan di kawasan segi tiga emas, Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Mengekalkan konsep sajian ditambah baik iaitu Melayu-Kelantan warisan Thailand, pasti memenuhi selera semua pelanggannya.

Pemilik restoran dan tukang masak utama, Baha Azman Nor, berkata restorannya diberi penjenamaan semula apabila memulakan operasi di tempat baharu sejak akhir Jun lalu, sekali gus menjadi satu-satunya kedai makan Melayu berstatus halal di destinasi pelancongan popular sekitar Bukit Bintang, terutama di Jalan Padang Walter Granier.

Tambahnya lagi, sebagai nilai ditambah bagi menambat hati pelanggan baharu dan setia di restoran lama, beliau menampilkan menu istimewa nyicah tulang Gunung Mat Chinchang yang boleh dinikmati antara lapan hingga 10 orang bagi satu hidangan.

Katanya, sup tulang rusuk dan belakang lembu, direbus tidak kurang daripada empat jam dengan api perlahan supaya isinya empuk.

Bagi menampilkan keunikan Baha berkata, tulang berkenaan disusun seolah-olah membentuk sebuah tanah tinggi yang saya namakan Gunung Mat Chinchang apabila tulang itu perlu dicincang dulu, sesuai namanya.

Pemilik restoran dan tukang masak utama, Baha Azman Nor bersama menu unik iaitu nyicah tulang Gunung Mat Chinchang, saiz L seberat 3.5 kilogram. - Foto Aswadi Alias

Taburan cili merah, hijau

“Air cicah yang ada campuran cili merah dan hijau, sebaik ditabur atas tulang berkenaan, seolah-olah membentuk hutan belantara, kelihatan tulang rusuk tersembul, seperti batuan batu kapur kelihatan seperti gunung. Justeru, dari jauh, hidangan berkenaan memang kelihatan seperti gunung.

“Lazimnya tulang lembu dimasak buat sup, tetapi sajian di restoran kami, tulang dinikmati bersama air cicah yang sedap luar biasa.

“Secara peribadi, saya yakin menu nyicah tulang Gunung Mat Chinchang satu-satunya sajian istimewa yang terdapat di negara kita dan saya tak fikir menu seumpamanya dihasilkan kedai makan lain,” kata Baha atau lebih dikenali sebagai Cik Baha.

Pun begitu, menu sajian lain yang benar-benar menambat hati penulis adalah ketam masak singgang sememangnya menjadi hidangan asli warisan Kelantan.

Sajian dimasak menggunakan kunyit hidup dan air perahan limau nipis, selain ramuan segar seperti lengkuas dan bawang. Namun, penulis lebih yakin, ‘air tangan’ daripada Cik Baha adalah resipi rahsianya.

Hidangan pencuci mulut wajib anda cuba di sini ialah manisan dikenali lompat tikam. Lebih istimewa, sajian berkenaan menggunakan pulut merah iaitu identiti lompat tikam Kelantan, selain menggunakan bahan asli seperti kepala santan.

Sajian pencuci mulut, lompat tikam yang berasal dari Kelantan, suatu ketika dahulu pernah menjadi hidangan utama di istana raja Melayu. - Foto Aswadi Alias

FAKTA NOMBOR

  • 4 jam - Tulang lembu direbus dengan api perlahan
  • RM188 - Harga nyicah tulang Gunung Mat Chinchang
  • 180 orang - Pelanggan sehari
  • INFO

  • Restoran-Kafe Intai Intai beralamat di 19A, tingkat bawah, Jalan Padang Walter Granier off Jalan Imbi, Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
  • Mengambil masa kurang lima minit berjalan kaki dari Stesen MRT Bukit Bintang (pintu D) menuju ke restoran berkenaan.
  • Sajian istimewa lain termasuklah udang telur masin, siakap stim limau bawang putih dan sotong stim sumbat pedas ala Thai.
  • Berita Harian X