Selasa, 12 Mei 2020 | 2:41pm
Pengusaha makanan, Azmalinda Wan Azemi menunjukkan nasi kerabu resepi 28 tahun menjadi pilihan pelanggan di rumahnya di Pasir Hor, Kota Bharu. - Foto NSTP/Nor Amalina Alias
Pengusaha makanan, Azmalinda Wan Azemi menunjukkan nasi kerabu resepi 28 tahun menjadi pilihan pelanggan di rumahnya di Pasir Hor, Kota Bharu. - Foto NSTP/Nor Amalina Alias

Keenakan nasi kerabu 28 tahun

KOTA BHARU: Mengekalkan ramuan asli nasi kerabu hampir tiga dekad menjadikan jualan nasi kerabu di Pasir Hor di sini, mendapat permintaan tinggi terutamanya pada Ramadan.

Lengkap dengan lauk pauk, kerabu dan sos seperti nasi kerabu asli zaman dahulu membuatkan pengusaha makanan, Azmalinda Wan Azemi, 37 tidak putus-putus menerima tempahan.

Katanya, dia menggunakan resipi asal ibu, Normawaty Yuns, 60 yang menjual nasi kerabu sejak 1992.

"Keistimewaan nasi kerabu saya terletak pada pilihan ulaman sebagai kerabu iaitu bunga kantan, kacang panjang, taugeh yang menjadi pilihan ulaman zaman nenek moyang kita dulu.

"Selain itu, saya juga masukkan budu yang dimasak dengan campuran daun limau, serai dan lain-lain bahan untuk bangkitkan haruman dan rasa sos budu yang memakan masa empat jam untuk dimasak dan membuatkan orang yang tak makan budu kerana bau pun boleh makan budu," katanya ketika ditemui di rumahnya di Pasir Hor, di sini.

Azmalinda yang mesra dipanggil Kak Linda berkata, pilihan tujuh jenis lauk pauk seperti telur masin, ayam goreng berempah, daging bakar tawar, ikan celup tepung, kambing bakar, ayam goreng dan ayam bakar memeriahkan lagi hidangan nasi kerabunya sehingga ditagih ramai pelanggan.

Katanya, selain itu, hidangan air lada, sos budu tumis, solok lada dan sambal kelapa pula melengkapkan hidangan nasi kerabu selera asli jualannya.

"Saya buat tiga variasi nasi kerabu iaitu nasi kerabu warna biru, kuning dan putih, pilihan warna nasi bergantung pada permintaan pelanggan", katanya.

Linda berkata, nasi kerabu itu dulunya dikenali sebagai Nasi Kerabu Pagar Zain kini dikenali sebagai Nasi Kerabu Citarasa Linda Katering (CLK) yang ditempah pelanggan sebagai juadah berbuka puasa.

Katanya, jualan nasi kerabu ditempah mengikut bungkusan atau hidangan bufet keluarga yang berharga antara RM4 hingga RM18.

"Bagi saya, nasi kerabu bukan sekadar juadah makanan tetapi melambangkan budaya sejarah kita, sebab itu saya kekalkan setiap bahan yang ada dalam sepinggan nasi kerabu seperti nasi kerabu yang dinikmati zaman dahulu, yang akan saya kekalkan sampai bila-bila," katanya.

Beliau yang mengusahakan perniagaan katering sejak 10 tahun lalu turut membuat tempahan aneka menu seperti rendang puyuh, kambing, ayam, daging, kuzi kambing dan ayam, pulut kuning, nasi impit, Set Nasi Dagang Terengganu/ Kelantan dan lontong untuk juadah Aidilfitri.

Katanya, dia kini turut memperkenal khidmat penghantaran CLK Delivery sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi pelanggan sekitar radius lima hingga 15 kilometer di Kota Bharu, Pasir Mas dan Bachok.

Berita Harian X